Penyelesaian kekal tangani jerebu perlu jadi keutamaan serantau

Penyelesaian kekal tangani jerebu perlu jadi keutamaan serantau

SINGAPURA, 1 Okt (Bernama) – Mencari penyelesaian kekal bagi membendung jerebu daripada berulang semula perlu menjadi keutamaan serantau, kata seorang ahli ekonomi.

Shane Oliver, Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Ekonomi AMP Capital berkata: “Lebih lama jerebu berterusan, kesan ekonomi diukur akan menjadi lebih ketara.

“Ini terutamanya dengan peningkatan ketidakhadiran kerja – terutamanya bagi mereka yang bekerja di luar dalam industri perkhidmatan, pembinaan dan sebagainya – dan dari segi impak kepada kesihatan awam.

“Tetapi kesan ekonomi tidak diukur adalah yang paling menelan kos kerana jerebu menyebabkan kemerosotan kualiti hidup yang amat besar bagi penduduk di negara-negara yang terjejas.

“Ini merupakan masalah berulang utama bagi rantau ini yang menyebabkan kos ekonomi yang amat besar bagi ekonomi yang diukur dan tidak diukur. Justeru, mencari penyelesaian kekal bagi menanganinya perlu menjadi keutamaan serantau,” katanya kepada Bernama.

Oliver berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai kesan jerebu ke atas Singapura, Malaysia dan Indonesia.

“Satu daripada kesan terbesar ialah ke atas pelancongan dan hilangnya daya tarikan rantau ini sebagai tempat untuk melawat dan bekerja, bagi orang asing yang bekerja dalam bidang seperti kewangan.

“Faktor itu terutamanya penting bagi Singapura,” katanya.

Pakar Meteorologi Kanan AccuWeather, Jason Nicholls berkata, jerebu dan asap di seluruh rantau ini memberi kesan kepada pelancongan.

“Saya tidak ada angka rasmi untuk menyokongnya, tetapi kualiti udara yang buruk mungkin menyebabkan pelancong memendekkan kunjungan mereka atau mengelak langsung daripada datang ke rantau ini.

“Penurunan pelancongan sudah pastinya memberi kesan negatif kepada ekonomi beberapa negara,” katanya.

Jerebu bukan sahaja menjejaskan Singapura, Malaysia dan Indonesia, tetapi juga di Selatan Thailand pada 2013, apabila kualiti udara kekal dalam zon bahaya bagi tempoh yang lama yang membahayakan kesihatan ramai orang di samping menyebabkan kerugian ekonomi berjuta-juta dolar.