Penyelewengan dana projek Sabah: Adik bekas menteri direman 5 hari

KOTA KINABALU, 11 Okt – Adik seorang bekas menteri persekutuan direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana RM180 juta berkaitan projek luar bandar di negeri ini.

Majistret Stephanie Sherron Abbie mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan lelaki berkenaan sehingga 15 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Individu itu yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah semalam, adalah antara tujuh individu yang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta, iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diselewengkan daripada sebuah kementerian.

Adik seorang bekas menteri persekutuan direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana RM180 juta berkaitan projek luar bandar di negeri ini. – Bernama

Sementara itu, seorang pemimpin parti politik Sabah yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan yang sama telah dimasukkan ke hospital swasta dekat sini malam tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 46 itu dimasukkan ke Hospital KPJ Damai disebabkan kekurangan air di dalam badan serta tekanan darah tinggi.

Dalam kejadian berasingan, seorang bekas timbalan setiausaha bahagian sebuah kementerian yang ditahan reman telah dilanjutkan enam hari mulai esok hingga 17 Oktober. – Bernama