Penyelia kena 3 tahun 6 bulan

Penyelia kena 3 tahun 6 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Bekas penyelia syarikat keselamatan yang ingin mendapatkan pengurangan hukuman bagi kesalahan mencuri dan pecah amanah melibatkan $100,000, terpaksa akur dengan hukuman tiga tahun dan enam bulan penjara yang dijatuhi oleh Mahkamah Perantaraan pada Mac 2016.

Keputusan itu dibuat selepas Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid gagal dalam rayuannya baru-baru ini untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Perantaraan yang mendapatinya bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ketika menolak rayuan itu, Hakim John Barry Mortimer yang bersidang bersama Hakim Burrell dan Hakim Seagroatt di Mahkamah Rayuan berkata, kes ini bukannya melibatkan satu jumlah yang sedikit, apatah lagi kesalahan pecah amanah ini jelas memperuntukkan hukuman pemenjaraan.

“Dalam kes ini, Abdul Rahman telah diamanahkan untuk mengendalikan jumlah wang yang besar di mana dia turut menjejaskan krunya dengan membawa mereka ke dalam perbuatan yang tidak jujur ini,” kata Hakim Seagroatt.

pg06_160530_mahkamah logo2

Ketiga-tiga hakim memutuskan hukuman yang telah dijatuhi itu adalah tidak salah daripada dasar hukum dan dianggap tidak berlebihan.

Fakta kes menyebut, Abdul Rahman telah mengarahkan ketua kru dan dua lagi kru untuk mengambil wang BIBD berjumlah $11.105 juta dari Autoriti Monetari Brunei Darussalam untuk diedarkan ke beberapa buah cawangan BIBD, pada 2 Julai 2014.

Ketika membuat perhentian di cawangan BIBD, Tanjung Bunut, ketiga-tiga kru telah memberikan beg yang mengandungi $805,000 namun pihak bank hanya mengambil $705,000 sahaja. Abdul Rahman kemudian mengarahkan kru-kru tersebut untuk membawa balik baki $100,000 ke syarikat.

Selepas seminggu, salah seorang daripada kru terbabit telah pergi ke rumah Abdul Rahman, dan diberikan $67,500 untuk dibahagikan antara mereka bertiga manakala baki $32,500 disimpan oleh Abdul Rahman.

Kekurangan wang itu hanya disedari oleh BIBD pada 4 Julai, yang membawa kepada siasatan dalaman di syarikat keselamatan tersebut.

Ketiga-tiga kru tersebut terlebih dahulu mengaku bersalah pada Julai 2014, dan masing-masing telah dijatuhi hukuman pemenjaraan.

ARTIKEL YANG SAMA