Penyelia Syarikat Oregon System akui salah

Penyelia Syarikat Oregon System akui salah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Seorang penyelia di Syarikat Oregon System mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memiliki peralatan penyiaran yang tidak diisytiharkan.

Chong Kim Leong, 33, dari Malaysia turut mengaku syarikatnya tidak mempunyai lesen untuk menjual peralatan penyiaran tersebut.

Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 2 Julai untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Kertas pertuduhan menyebut, penguat kuasa dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AiTi) Brunei menyerbu premis syarikat yang terletak di Gadong sekitar jam 2:05 petang pada 29 September 2014.

Anggota penguat kuasa menemui 100 set TV Smart Android, 20 set alat pemain Wonder IT, 17 set lagi alat pemain Wonder IT, 300 keping kad tambah nilai Android Online Movie, dua set TV Smart Android terpakai dan dua set alat pemain Wonder IT terpakai.

Peralatan penyiaran yang dibeli dari Kuching itu telah diserahkan kepada pihak kastam.

Tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $3,000 atau dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh sebutan hukuman.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi binti Pengiran Latif.