Penyelidik UM berjaya tanam Saffron di Malaysia

Penyelidik UM berjaya tanam Saffron di Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Crocus sativus L. atau lebih dikenali sebagai Saffron atau Za’ffaran merupakan herba termahal di dunia. Ia digunakan sejak ribuan tahun dahulu terutama di Asia Barat sebagai rempah utama dalam masakan.

Digelar raja segala rempah, helaian-helaian halus berwarna merah za’ffaran, merupakan stigma kering daripada bunga Saffron yang mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi.

Hanya boleh ditanam di kawasan negara empat musim seperti kawasan Mediteranean, Asia Barat dan Eropah, harganya di Malaysia boleh mencecah antara RM28,000 hingga RM32,000 bagi setiap satu kilogram.

Bagaimanapun usaha sekumpulan penyelidik Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) diketuai Profesor Dr Rosna Mat Taha bersama Nordiyanah Anuar, Noraini Mahmad, Asif Khan, Dr Sadegh Mohajer, Nor Amirah Md. Nor telah berjaya menanam dan menghasilkan bunga saffron di Malaysia selain memperolehi stigmanya yang digunakan dalam masakan.

Pokok saffron yang ditanam secara in vivo dalam bilik kultur itu berbunga buat pertama kalinya dari November hingga Januari lepas. – Bernama

Dr Rosna Mat Taha menunjukkan pokok Crocus sativus L. atau lebih dikenali sebagai Saffron atau Za’ffaran yang merupakan herba termahal di dunia. - Bernama
Dr Rosna Mat Taha menunjukkan pokok Crocus sativus L. atau lebih dikenali sebagai Saffron atau Za’ffaran yang merupakan herba termahal di dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA