Penyelidikan kesihatan mulut diteruskan

Penyelidikan kesihatan mulut diteruskan

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 18 Okt – Kementerian Kesihatan kini meneruskan fasa kedua ‘Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2015-2017’ peringkat dewasa, dan bagi penduduk Daerah Temburong ia telah dijalankan di Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam Temburong sejak 6 Oktober yang lalu.

Kaji selidik tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesihatan mulut dalam kalangan orang dewasa di negara ini, yang boleh digunakan untuk membuktikan mengenai taraf penyakit mulut di Negara Brunei Darussalam.

‘Survey Taskforce, Perkhidmatan Pergigian’ telah bekerjasama dengan Pakar Konsultan Australian Research Centre for Population Oral Health (ARCPOH), Universiti Adelaide, Australia, untuk mendapatkan bantuan, nasihat dan panduan dalam merancang dan melaksanakan kaji selidik tersebut supaya menepati Standard Saintifik, Legal dan Etika Antarabangsa.

Kaji selidik tersebut dibahagikan kepada dua fasa iaitu bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang mana pemeriksaan bagi kanak-kanak telah berjaya dilaksanakan pada Ogos hingga Disember tahun lalu, manakala itu bagi orang dewasa pula telah mula dilaksanakan September lalu dan dijangka berakhir pada penghujung tahun ini.

Ketika pemeriksaan kesihatan mulut dijalankan.
Ketika pemeriksaan kesihatan mulut dijalankan.

Menurut Penyelia Lapangan, Dr. Jacqueline Kamaluddin, pihaknya telah menjemput penduduk di negara ini yang berumur 18 tahun ke atas dan bagi Daerah Temburong lebih 150 orang telah berjaya menyertainya.

“Kaji selidik dikendalikan oleh lima pasukan termasuk pakar-pakar pergigian dan data tahun ini nampaknya lebih baik berbanding tahun 1998, namun hasil penilaian akhir akan diperolehi pada penghujung tahun ini nanti, ujarnya sambil menambah,” mereka mengharapkan keputusan yang sangat baik berbanding negara-negara lain.

Dalam kaji selidik berkenaan, para peserta melalui dua fasa; pertama, sesi soal jawab mengenai kebersihan mulut dan kekerapan mereka mengunjungi klinik pergigian dan kedua pemeriksaan gigi dan mulut.

ARTIKEL YANG SAMA