Penyelidikan terperinci tentukan usia kapal misteri

Penyelidikan terperinci tentukan usia kapal misteri

LIPIS, 5 Mei (Bernama) – Penyelidikan terperinci perlu dilakukan terhadap kapal yang ‘timbul’ di Sungai Pahang berhampiran Kampung Tanjung, Paloh Hinai di Pekan untuk mengesahkan sama ada ia adalah kapal dagang tinggalan British.

Pakar sejarah Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata antara usaha yang boleh dijalankan ialah ujian pentarikhan karbon ke atas serpihan kapal sama ada logam atau kayu bagi membantu menentukan usia kapal.

Kajian juga boleh dilakukan terhadap struktur fizikal kapal sekiranya terdapat tulisan yang dapat membantu mengesan ‘asal usul’ kapal selain barangan peninggalan seperti pinggan mangkuk, jika ada di dalam kapal.

“Bagaimanapun, sebelum melakukan penyelidikan adalah penting untuk kita bertanya apakah faedah kajian itu? Adakah kapal itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi?

“Adakah sebarang peristiwa besar sejarah yang membawa nilai tambah kepada kapal itu kerana penyelidikan memerlukan dana kewangan banyak seperti membawa naik kapal itu ke darat untuk penyelidikan lanjut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media mengenai penemuan bangkai kapal berkenaan susulan paras air sungai Pahang semakin cetek akibat fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

Penduduk kampung itu mendakwa kapal berkenaan adalah kapal dagang British yang karam secara misteri lebih 100 tahun lalu disebabkan menganggu makhluk halus di situ selain sikap sombong kapten kapal.

Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menambah apa yang ada setakat ini hanyalah satu cerita yang diturunkan secara lisan daripada satu generasi ke satu generasi.

Sehubungan itu, kepentingan nilai sejarah itu perlu diperhalusi dan ditetapkan sebelum kajian lanjut kerana bimbang nilai sejarahnya kurang, sebaliknya dihebahkan kerana faktor ‘kedekatan’ penduduk setempat.

“Jika kapal itu membawa emas atau tenggelam disebabkan tindakan pejuang Melayu menentang British, ia membawa nilai sejarah yang berbeza. Kita kena menilai juga kepentingan Pahang kepada British pada masa dahulu.

“Jika dibandingkan dengan negeri lain, Pahang agak kurang penting malah merupakan negeri terakhir diambil British disebabkan semasa itu kepentingan ekonomi dan kekayaan hasil buminya kurang jelas akibat faktor hutan yang tebal,” katanya.

Ramlah bagaimanapun tidak menafikan kebarangkalian kapal itu adalah milik British kerana kegiatan perdagangan telah lama berlaku di negeri Tanah Melayu melibatkan masyarakat luar.

Tidak mustahil jika kapal itu tenggelam di Sungai Pahang kerana menurut Ramlah, sungai itu sudah pasti pada masa dahulu fizikalnya lebih dalam dan lebar kerana tiada kegiatan yang boleh mengganggu muka bumi.

“Kita tidak boleh tolak kemungkinan kapal itu berdagang dengan pembesar di Pahang dan masuk ke kawasan sungai untuk mendapatkan bekalan air bersih atau makanan. Tapi perlu kajian dan juga sebab kukuh mengapa kajian perlu dilakukan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA