Penyeludup Rohingya ditembak mati

Penyeludup Rohingya ditembak mati

DHAKA, 8 Jun (AFP) – Warga Rohingya yang dipercayai terlibat dalam pemerdagangan manusia telah ditembak mati di Bangladesh, menurut polis hari ini, ketika negara tersebut memantapkan lagi usaha menangani krisis penyeludupan manusia.

Polis berkata lelaki berusia 30 tahun itu kecundang dalam kejadian berbalas tembakan dengan dua kumpulan pemerdagangan manusia di Teknaf berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar.

Kawasan tersebut merupakan tempat tinggal 32,000 etnik Rohingya yang berdaftar dan berlindung di dua kem, serta 200,000 dan 300,000 lagi etnik Rohingya tidak berdaftar.

“Lelaki itu didakwa terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga kes pemerdagangan manusia dan namanya berada dalam senarai pedagang manusia yang disediakan oleh menteri negara,” jurucakap polis tempatan Ataur Rahman memberitahu AFP, merujuk kepada suspek yang meninggal dunia itu, yang didedahkan hanya sebagai Amanullah.

Bagaimanapun, ketua masyarakat Rohingya di kem pelarian Nayapara berkata Amanullah adalah penghuni kem tersebut, telah ditembak mati sewaktu dalam tahanan pihak polis.

Polis Bangladesh berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditembak mati ketika kejadian berbalas tembakan dengan dua kumpulan pemerdagangan manusia di Teknaf berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar. – AFP
Polis Bangladesh berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditembak mati ketika kejadian berbalas tembakan dengan dua kumpulan pemerdagangan manusia di Teknaf berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar. – AFP

“Polis memberkas beliau pada jam 4 petang kelmarin dan pagi ini dia ditembak mati berhampiran sebuah jalan,” kata ketua masyarakat itu yang enggan disebutkan namanya.

Setiap tahun beribu-ribu penghijrah ekonomi Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar cuba membuat pelayaran berbahaya menggunakan bot yang dikendalikan oleh penyeludup manusia, untuk pergi ke Malaysia dan Thailand.

Kes pemerdagangan manusia menjadi tumpuan utama tahun ini setelah beribu-ribu orang dibiarkan terkandas berikutan tindakan keras Thailand ke atas pemerdagangan manusia.