Penyeludupan barang tegahan berjaya dipatahkan

Penyeludupan barang tegahan berjaya dipatahkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Sebagai langkah proaktif pencegahan kejadian jenayah atau kegiatan berunsur jenayah yang berlaku di perairan negara, beberapa buah agensi penguatkuasaan undang-undang telah menjalankan operasi bersepadu yang menumpukan di perairan Sungai Brunei dan kawasan-kawasan berhampiran, hari ini.

Operasi yang melibatkan Cawangan Polis Marin, Balai Polis Kampong Ayer, Polis Simpanan C Kompeni, Pulau Baru- Baru (P2B), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan Bahagian Kawalan Makanan Halal itu juga bertujuan untuk mengesan kesalahan-kesalahan yang berhubung kait dengan perlesenan, pendaftaran dan penggunaan perahu khususnya penggunaan perahu-perahu tambang yang membuat operasi harian.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, operasi selama empat jam itu telah menunjukkan hasil yang positif apabila beberapa kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan seperti di bawah Akta Kastam iaitu menyeludup barang tegahan, dan di bawah undang-undang dan peraturan Jabatan Laut yang berkaitan dengan perlesenan dan pendaftaran.

Sehubungan itu, pihak Polis Marin menasihatkan orang awam terutamanya pengusaha perahu tambang dan orang persendirian yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan air serta pengguna-pengguna lain supaya akan sentiasa mematuhi apa jua undang-undang dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti memakai jaket keselamatan semasa berada dalam perjalanan di dalam perahu.

Di samping itu, mereka juga dinasihatkan supaya lebih menumpukan kewaspadaan ketika mengemudi terutama pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca kurang baik serta jika cuaca tidak mengizinkan supaya jangan sekali-kali untuk melakukan perjalanan atau keluar ke laut.

Sebuah bot laju Temburong sedang diperiksa oleh pihak berkuasa.
Sebuah bot laju Temburong sedang diperiksa oleh pihak berkuasa.

Orang ramai juga diseru supaya akan sentiasa memberi kerjasama dengan pihak agensi penguatkuasa undang-undang di negara ini untuk menyalurkan apa jua kegiatan jenayah dalam sama-sama menjaga keselamatan khususnya yang berlaku di perairan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA