Penyeludupan di Sabah, Sarawak serius – JKDM

Penyeludupan di Sabah, Sarawak serius – JKDM

KOTA KINABALU 25 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak kerana paling tinggi mencatatkan kegiatan penyeludupan serta penjualan rokok seludup.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, Datuk Matrang Suhaili berkata, keadaan geografi di negeri ini dan Sarawak memudahkan urusan keluar masuk rokok dari negara jiran.

“Sebagai contoh di Sabah, dalam tempoh dua bulan pertama ini, kita telah menahan 77 individu hasil pemeriksaan di 184 premis perniagaan dan laluan kaki lima yang disyaki sebagai lokasi menyimpan serta mengedar rokok seludup.

“Hasil pemeriksaan itu, kita turut merampas 841,780 batang rokok bernilai RM100,410 dengan cukai tidak berbayar berjumlah RM513,587,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Pacak peringkat negeri ini, di sini semalam.

Menurut beliau, sepanjang dua bulan pertama tahun ini, JKDM berjaya merampas 70.2 juta batang rokok bernilai RM7.74 juta dengan nilai cukai tidak berbayar berjumlah RM3.71 juta di seluruh negara.

Katanya, rampasan itu hasil serbuan pihaknya di premis-premis perniagaan, pelabuhan dan pintu-pintu utama masuk ke negara ini.

Malah, tegasnya, mana-mana premis yang didapati menjual dan memperoleh rokok seludup atau cukai tidak berbayar bakal berdepan pembatalan lesen jualan.

“Ini merupakan komitmen kita bagi membanteras kegiatan penjualan rokok seludup daripada berleluasa,” katanya.