Penyeludupan hidupan liar perlu diatasi

Penyeludupan hidupan liar perlu diatasi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar serta tumbuh-tumbuhan terancam dalam jumlah yang besar merupakan satu perkara yang amat membimbangkan serta mendapat perhatian serius pihak antarabangsa. Kegiatan itu juga secara langsung menjana insentif bagi para penyeludup untuk menangkap spesies binatang dan tumbuh-tumbuhan terancam itu serta boleh mendatangkan bahaya kepada binatang yang diseludup itu.

Selain itu, ia juga akan membawa kepada pemindahan penyakit dan pelbagai masalah yang mungkin tidak diketahui oleh penyeludup berkenaan.

Dalam hubungan itu, usaha ASEAN dapat mengetatkan dan mengukuhkan lagi peraturan penyeludupan hidupan liarnya yang menggalakkan penguatkuasaan lebih kuat bagi peraturan-peraturan untuk membendung kegiatan berkenaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Craig Allen dalam temu bual bersama Media Permata selepas Perasmian Bengkel Latihan Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar yang berlangsung di Dewan Kuliah, Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Beliau berkata lagi bahawa menjadi naluri manusia iaitu apabila sesuatu itu jarang dilihat, ia menjadi semakin bernilai dan perkara itu, mengundang atau meningkatkan lagi insentif bagi kegiatan penyeludupan untuk berlaku. Oleh itu, tegasnya, semua pihak perlu lebih peka dan meningkatkan usaha untuk membendung perkara berkenaan daripada berlaku serta untuk memastikan bahawa binatang terancam berkenaan tidak akan pupus.

Craig Allen ketika berucap di perasmian Bengkel Latihan Penyelamat dan Pemuliharaan Kehidupan Liar di UBD.
Craig Allen ketika berucap di perasmian Bengkel Latihan Penyelamat dan Pemuliharaan Kehidupan Liar di UBD.

Menurutnya lagi, apabila kita kehilangan sesuatu spesies itu, kita akan kehilangannya untuk selama-lamanya dan bukan sahaja kita akan kehilangan spesies itu sahaja tetapi kita juga mungkin kehilangan spesies-spesies lain yang bergantung pada spesies berkenaan untuk kehidupan mereka.

Dalam hubungan itu, beliau menekankan bahawa kegiatan penyeludupan kehidupan liar dan biodiversiti merupakan isu yang amat penting ditangani kerana mangsa perbuatan itu bukannya individu atau keluarga yang khusus tetapi manusia sejagat kerana kita tidak mampu kehilangan jumlah spesies yang banyak di mana setiap spesies itu memainkan peranan penting kepada ekosistem unik dunia.

Terdahulu semasa berucap pada perasmian bengkel latihan berkenaan, Allen berkata bahawa pada masa ini, kita sering melihat landskap bandar bertembung dengan alam semula jadi dan perkara itu boleh sahaja mengancam kehidupan liar dan habitat mereka.

Oleh itu, beliau amat tertarik dengan keindahan alam semula jadi Brunei dan berharap lebih ramai pelawat ke Brunei akan dapat menikmati keindahan serta keistimewaan alam semula jadi di tengah Nadi Borneo.

“Ia merupakan satu tragedi jika generasi akan datang tidak lagi dapat menikmati pengalaman yang kita rasai iaitu keseronokan berjalan di dalam hutan hujan yang indah dan kaya dengan pelbagai spesies binatang dan tumbuh-tumbuhan.”

Menyentuh mengenai bengkel latihan itu, beliau berkata bahawa ia merupakan inisiatif yang amat bertepatan di mana tanggungjawab untuk memulihara spesies terancam bukannya terletak kepada satu pihak sahaja tetapi merupakan tanggungjawab untuk semua.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan agar peserta-peserta bengkel latihan berkenaan terus menunjukkan komitmen ke arah kerja-kerja pemuliharaan di Brunei dan menerusi latihan mereka akan dapat menggunakan kemahiran yang dipelajari bagi melaksanakan tugas-tugas penting dalam pemuliharaan kehidupan liar Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA