Penyemakan semula tambang RB

Penyemakan semula tambang RB

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah menjenamakan semula jenis-jenis tambangnya dan memperkenalkan syarat-syarat lebih baik termasuk elaun bagasi daftar masuk yang dikaji semula, pengenalan insentif-insentif Royal Skies baru dan pindaan struktur bayaran.

Syarat-syarat baru berkenaan juga termasuk tiket-tiket yang dibeli bulan lalu di Pusat Perkhidmatan Pelanggan RB, dalam talian di www.flyroyalbrunei,com dan ejen-ejen pelancongan.

RB dalam kenyataannya, hari ini, menjelaskan bahawa dengan syarat-syarat yang dikaji semula itu, mereka telah menstandardkan elaun bagasinya bagi penebangan jarak jauh dan dekat kepada 30kg untuk setiap penumpang kelas ekonomi dan 40kg bagi kelas perniagaan.

Pengenalan syarat-syarat baru ini juga akan memberi manfaat kepada ahli-ahli Royal Skies, yang mana mereka kini dapat menuntut batuan penerbangan daripada semua jenis tambah (kecuali pelancongan berkumpulan).

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dipetik sebagai berkata; “Kemas kini kepada syarat-syarat tambang kami adalah antara pelbagai usaha RB untuk menyediakan pelanggan dengan pengalaman yang lebih menyeronokkan dan lancar. “

Menurutnya lagi, perubahan-perubahan ini diperkenalkan selaras dengan strategi pensegmenan pasaran mereka iaitu untuk lebih menjajarkan produk dengan keperluan pelanggan santai, perusahaan kecil dan sederhana, pelanggan mewah dan korporat.

Bagi senarai lengkap mengenai syarat-syarat yang dikemas kini berkenaan, bolehlah melayari laman sesawang www.flyroyalbrunei.com/en/brunei/plan/fare-conditions.

ARTIKEL YANG SAMA