Penyepaduan perkhidmatan kesihatan

Penyepaduan perkhidmatan kesihatan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Untuk memantapkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi (Perkhidmatan Pesakit Luar) di Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping) dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kiarong akan dipindahkan sepenuhnya ke Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah (PAPHMWHB), Kampung Rimba bermula 1 Ogos 2016.

Inisiatif penyepaduan ini adalah selaras dengan salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan melalui penggabungan perkhidmatan, kemudahan serta infrastruktur yang sedia ada.

Penggabungan ini dihasratkan dapat memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan pembaziran.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifle dalam sidang akhbar di Pusat PAPHMWHB hari ini, yang turut dihadiri oleh pegawai kanan di Kementerian Kesihatan.

Sehubungan dengan pemindahan ini, penduduk yang tinggal di bawah tadahan Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping) dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kiarong kecuali Kampung Subok dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Pusat Kesihatan PAPHMWHB yang terletak di Simpang 256-23, Kampung Rimba, Gadong (Tel: 673 2424991 atau 2428247 / 48 / 49) bermula pada tarikh tersebut.

Dr. Hazri (tengah) semasa mengumumkan penyepaduan perkhidmatan pusat kesihatan.
Dr. Hazri (tengah) semasa mengumumkan penyepaduan perkhidmatan pusat kesihatan.

Sementara itu, Penguasa Perubatan Kesihatan Komuniti, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Abdul Gharif pula menasihatkan penduduk dari Kampung Subok untuk mendapatkan perkhidmatan di Pusat Kesihatan Berakas yang terletak di Jalan 10 Selatan, Rancangan Perumahan Lambak Kanan, Berakas (Tel: 673 2333991) bermula pada tarikh tersebut.

Bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan, Dr. Hajah Rafidah berkata, Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping) akan ditutup pada 30 Julai 2016 mulai jam 12:15 tengah hari.

Semasa penutupan berkenaan, orang ramai di bawah tadahan yang terlibat dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di pusat-pusat kesihatan seperti yang telah dinyatakan.

Manakala itu, Pusat Vaksinasi dan Bahagian Kesihatan Cara Kerja masih lagi akan meneruskan perkhidmatannya di tempat yang sama iaitu di Tingkat 4 dan Tingkat 5, Blok 2G2:03, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, sehingga tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Dalam hubungan ini, Pusat Kesihatan PAPHMWHB dan Pusat Kesihatan Berakas adalah pusat kesihatan yang mempunyai kapasiti besar dengan infrastruktur dan kemudahan yang dibina khas.

Perkhidmatan kesihatan yang disediakan adalah berkonsepkan perkhidmatan kesihatan di bawah satu bumbung (One Stop Health Centre) dengan terdapatnya pelbagai jenis perkhidmatan seperti Penjagaan Kesihatan Asasi, Kesihatan Ibu dan Anak, Pergigian, Farmasi, Kesihatan Mata, Pemakanan Komuniti, Psikologi Masyarakat, Pengambilan Darah dan sebagainya.

Oleh itu, usaha penggabungan ini bukan sahaja berkemampuan untuk menampung keperluan kesihatan bagi jumlah penduduk yang terlibat, malah ianya dapat merealisasikan pemberian perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang lebih komprehensif, berkualiti, selamat dan mesra pelanggan bagi rakyat dan penduduk di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA