Penyerahan Jeti terapung Sungai Teraban

Penyerahan Jeti terapung Sungai Teraban

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 24 Sept – Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) Sdn Bhd semalam menyerahkan Jeti Sungai Teraban kepada Jabatan Daerah Belait dalam acara simbolik yang berlangsung di jeti tersebut selepas Projek Kajian Seismik 3D Rasau yang merangkumi kawasan kampung tersebut dan sekitar Daerah Belait selesai.

Penyerahan dilakukan oleh Timbalan Pengarah Urusan BSP, Haji Kamaludin bin Haji Bungsu kepada Pegawai Daerah Belait Haji Haris bin Othman sambil disaksikan oleh Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara serta penduduk Kampung Sungai Teraban.

Menurut Haji Kamaluddin, Projek Kajian Seismik 3D Rasau telah memulakan operasi pada Jun 2014 sehingga April 2015 yang dalam jangka masa itu, kawasan jeti dan sekitarnya ditutup kepada orang awam demi menjaga keselamatan lalulintas di kawasan itu.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif sumbangan kemasyarakatan daripada pihak syarikat BSP dan kontraktor, Syarikat Geokinetics International Inc, yang mengendalikan projek tersebut, kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan ke atas jeti lama dilakukan untuk menaiktarafkan jeti tersebut selaras dengan panduan-panduan keselamatan, mematuhi piawaian industri dan Shell Antarabangsa dan juga mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Laut.

Haji Kamaludin dan Haji Haris semasa Majlis Penyerahan Jeti Kampung Sungai Teraban.
Haji Kamaludin dan Haji Haris semasa Majlis Penyerahan Jeti Kampung Sungai Teraban.

Menurutnya lagi, kerja-kerja menaiktarafkan termasuklah menambah tambatan perahu terapung dan melengkapkannya dengan platform pendaratan serta memastikan ia selamat digunakan.

Kru-kru seismik menggunakannya untuk memudahkan pekerja memuat dan memunggah barangan peralatan dari bot kecil yang beroperasi di Sungai Belait dan sekitarnya.

Pihak BSP berharap dengan penyerahan jeti ini akan memudahkan dan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Sungai Teraban dan orang awam.

Awang Mohd Mersidi berharap jeti berkenaan juga bakal menjadi satu tarikan perekonomian bagi penduduk setempat dan ekopelancongan kampung itu.

“Jeti yang dinaiktarafkan ini pastinya bakal menjadi tarikan kaki pancing dan nelayan untuk mencari rezeki di perairan Sungai Belait manakala perkhidmatan layar sungai yang dikendalikan salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Teraban pula boleh dipopularkan dalam kalangan pelancong yang melawati daerah ini,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA