Penyerahan makmal Neptune Bio Innovations

Penyerahan makmal Neptune Bio Innovations

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEBD) dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), hari ini, telah mengadakan majlis penyerahan bagi makmal Neptune Bio Innovations yang terletak di tapak KPSSU, Kampung Sinaut.

Di majlis berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap, Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, bagi mewakili KPSSU menerima gambar berbingkai daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEBD, Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah para pegawai dari BEDB dan Neptune Bio-Innovations.

BEDB dalam kenyataannya memberitahu, Neptune Bio Innovations yang merupakan sebuah syarikat dari Australia, adalah salah sebuah syarikat yang disokong menerusi Skim Insentif Penyelidikan Brunei (BRISc).

BRISc telah dilaksanakan sejak 2012 untuk menggalakkan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk menjalankan kegiatan penyelidikan dan perkembangan (R&D) di Brunei Darussalam.

Timbalan Setiausaha Tetap KPSSU menerima gambar berbingkai daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB.
Timbalan Setiausaha Tetap KPSSU menerima gambar berbingkai daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB.

Pada masa ini, BRISc membiayai tiga projek oleh syarikat berkenaan, iaitu dalam pembiakan in vitro tumbuhan-tumbuhan perubatan bagi penyediaan perubatan yang termasuk penanaman, pengekstrakan dan penghasilan herba perubatan dari rantau Borneo bagi aplikasi perubatan dan makanan.

Projek kedua adalah Renet Halal, iaitu pembangunan sumber-sumber renet halal daripada ekstrak tumbuhan-tumbuhan yang sesuai bagi penghasilan keju dan yogurt.

Satu lagi projek adalah mereka dan membangunkan sistem penghantaran berkaitan bagi produk-produk makanan dan farmaseutikal.

Menurut kenyataan itu lagi, KPSSU sebagai rakan kongsi sama bagi ketiga-tiga projek berkenaan telah menyediakan pembiayaan bagi kerja-kerja penambah baikkan ke atas makmal sedia ada bagi Neptune Bio-Innovations.

Skop kerja bagi makmal kimia berkenaan termasuklah kerja-kerja penambahan dan pengubahan bagi makmal baru; membekal, menghantar dan memasang kelengkapan dan aksesori makmal; dan membekalkan tenaga, alat dan peralatan.

Pembinaan makmal ini, yang menelan kos kira-kira $500,000, mengambil masa tiga bulan yang mana kerja-kerja pembinaan bermula November 2014 hingga Februari 2015 dan dikendalikan oleh Azra Sdn Bhd.

Neptune Bio Innovations adalah sebuah syarikat R&D saintifik yang beribu pejabat di Australia dan ditubuhkan dalam tahun 2008 dengan menumpukan pada industri makanan sihat.

Pada masa ini syarikat berkenaan melaksanakan penyelidikan ke atas makanan tambahan sihat, dengan kepelbagaian produk termasuk alternatif gula yang rendah kalori, garam yang mempunyai kandungan natrium rendah, dan produk-produk tambahan kesihatan lain.

Penyelidikan bagi ketiga-tiga projek berkenaan akan mengeluarkan produk-produk halal yang berasaskan perubatan herba tempatan, sekali gus menghasilkan pelbagai produk kesihatan dengan sumber-sumbernya daripada rantau Borneo.

Sehingga kini, Neptune Bio Innovations mempunyai tujuh pekerja tempatan, termasuk tiga ahli kimia, tiga jurutera makmal dan seorang pembantu pentadbiran.

Sebilangan kakitangan tempatan dari Neptune Bio Innovations juga telah diberikan peluang untuk menjalani latihan di Australia.

Salah seorang siswazah tempatan pertama yang dihantar ke Australia adalah Awang Harris bin Jamaluddin pada tahun 2014 dan dia akan dihantar sekali lagi ke Australia untuk menjalani latihan selanjutnya pada Oktober 2015.

ARTIKEL YANG SAMA