Penyerang diburu, lebih 70 terbunuh

Penyerang diburu, lebih 70 terbunuh

LAHORE, Pakistan, 28 Mac (Reuters) – Pihak berkuasa Pakistan hari ini memburu militan Taliban yang pernah menjanjikan kesetiaan kepada kumpulan Negara Islam (IS) selepas kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab terhadap pengeboman berani mati yang menyasarkan penduduk Kristian pada Easter, yang membunuh lebih daripada 70 orang.

Serangan pada petang semalam di sebuah taman sibuk di timur bandar Lahore, pangkalan kuasa Perdana Menteri Nawaz Sharif, membunuh kebanyakan wanita dan kanak-kanak yang sedang meraikan Easter pada hujung minggu. Pakistan adalah sebuah negara dengan majoriti penduduk beragama Islam tetapi mempunyai penduduk Kristian berjumlah lebih daripada 2 juta.

Ia adalah serangan paling teruk di Pakistan sejak pembunuhan 134 kanak-kanak sekolah pada Disember 2014 di sebuah akademi yang dikendalikan oleh tentera di bandar Peshawar yang mendorong kerajaan melancarkan tindakan keras ke atas kegiatan militan Islam.

“Kami mesti membawa pembunuh saudara kami dan kanak-kanak ke muka pengadilan dan tidak membenarkan orang yang tidak berperikemanusiaan ini mengendali kehidupan dan kebebasan kami,” kata jurucakap tentera Asim Bajwa dalam satu artikel di Twitter.

Jamaat-ul-Ahrar, satu puak Taliban Pakistan, mendakwa bertanggungjawab atas serangan pada lewat malam semalam, dan mengeluarkan satu cabaran kepada kerajaan.

Sanak saudara menangis dalam perkabungan semasa pengebumian susulan pengeboman nekad di Lahore semalam. Angka kematian akibat letupan berani mati itu meningkat lebih 70 orang, kata pegawai hari ini ketika pihak berkuasa memburu dalang serangan. – AFP
Sanak saudara menangis dalam perkabungan semasa pengebumian susulan pengeboman nekad di Lahore semalam. Angka kematian akibat letupan berani mati itu meningkat lebih 70 orang, kata pegawai hari ini ketika pihak berkuasa memburu dalang serangan. – AFP

“Sasaran adalah penduduk Kristian,” kata jurucakap puak, Ehsanullah Ehsan. “Kami mahu menghantar mesej ini kepada Perdana Menteri Nawaz Sharif bahawa kami telah memasuki Lahore.”

Lahore adalah ibu negeri wilayah paling kaya di Pakistan, Punjab, dan dilihat sebagai pusat politik dan kebudayaan negara.

Pejabat Sharif mengecam pengeboman sebagai perbuatan pengecut dan berkata satu respons telahpun diarahkan, tanpa mengulas lanjut.

Pasar, sekolah dan mahkamah di Lahore ditutup hari ini ketika bandar itu berkabung. Jurucakap perkhidmatan menyelamat, Deeba Shahnaz mengatakan sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak, tujuh wanita dan 34 lelaki terbunuh manakala 340 lagi cedera, dengan 25 daripadanya dalam keadaan serius.

Jamaat-uh-Ahrar mengaku bertanggungjawab bagi beberapa serangan besar semenjak ia berpecah daripada kumpulan utama Taliban, Pakistan dalam 2014.

Meskipun ia kebanyakannya memfokuskan serangan di pangkalannya di kawasan puak barat daya Mohmand, ia sebelumnya pernah melancarkan sekurang-kurangnya dua serangan di Lahore: satu dalam 2015 yang menyasarkan dua gereja Kristian dan satu lagi di sempadan Wagah antara India dan Pakistan dalam lewat 2014.

Pakistan sudah dibelenggu keganasan militan dalam masa 15 tahun kebelakangan, semenjak ia menyertai kempen diketuai AS membasmi militan selepas serangan Al-Qaeda di Amerika Syarikat pada 11 Sept 2011.

Meskipun tentera, polis kerajaan dan kepentingan Barat menjadi sasaran utama Taliban Pakistan dan sekutunya, Kristian dan minoriti agama lain juga diserang.