Penyerang gereja kedua dikenal pasti

Penyerang gereja kedua dikenal pasti

PARIS, 28 Julai – Para penyiasat Perancis secara rasmi mengenal pasti pejuang jihad kedua yang menyerang sebuah gereja dan membunuh seorang paderi, sebagai seorang lelaki muda yang dikenali pihak berkuasa selepas cuba pergi ke Syria, satu sumber dalam pejabat pendakwa berkata hari ini.

Mereka mendedahkan identitinya sebagai Abdel Malik Petitjean, 19 tahun, yang telah dibunuh oleh polis dalam serangan bersama-sama Adel Kermiche, juga 19 tahun yang sedang menantikan perbicaraan berhubung tuduhan samseng dan telah dipasangkan dengan label elektronik di sebalik desakan daripada pihak pendakwa supaya dia tidak dibebaskan.

Kedua-dua lelaki itu telah menyerbu masuk ke sebuah gereja di bandar utara Saint-Etienne-du-Rouvray ketika perhimpunan pagi Selasa lalu dan mengelar leher paderi berusia 86 tahun di altar sebelum ditembak mati oleh polis.

Gambar yang diambil pada 28 Julai menunjukkan nota dilekatkan pada pagar dengan gambar paderi Perancis, Jacques Hamel yang dibunuh pada 26 Julai di gereja semasa insiden tebusan didakwa oleh kumpulan IS. Pendakwa Perancis telah mengenal pasti pejuang jihad kedua yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu. – AFP
Gambar yang diambil pada 28 Julai menunjukkan nota dilekatkan pada pagar dengan gambar paderi Perancis, Jacques Hamel yang dibunuh pada 26 Julai di gereja semasa insiden tebusan didakwa oleh kumpulan IS. Pendakwa Perancis telah mengenal pasti pejuang jihad kedua yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu. – AFP

Seorang lagi lelaki dibiarkan dalam keadaan cedera parah dalam drama tebusan, manakala tiga orang biarawati dan seorang yang sedang bersembahyang di gereja melarikan diri tanpa mengalami kecederaan.

Dua orang pejuang jihad telah menjanjikan kesetiaan kepada kumpulan Islam IS, satu video yang dihantar ke agensi berita kumpulan Islam IS, Amaq menunjukkan semalam.

Sumber pendakwaan mengatakan Petitjean tidak pernah didakwa sebelum ini dan cap jari atau DNA Petitjean tidak ada dalam fail polis, yang telah melambatkan pengecaman mayatnya.

Tetapi dia termasuk dalam fail polis sejak 29 Jun kerana cuba memasuki Syria dari Turki, menurut sumber itu lagi.

Contoh DNA dari ibunya telah membolehkan para penyiasat mengenal pasti identitinya. – AFP