Penyerang kapak miliki bendera IS

Penyerang kapak miliki bendera IS

WUERZBURG, Jerman, 19 Julai – Seorang pelarian Afghanistan berusia 17 tahun yang menyerang empat orang dengan kapak di sebuah kereta api Jerman memiliki bendera Islamic State (IS) di rumahnya, kata polis hari ini sejurus sebelum kumpulan pelampau itu mendakwa remaja berkenaan salah seorang pejuangnya.

Pihak berkuasa Jerman berkata mereka telah menemui bendera IS yang dilukis tangan antara barangan kepunyaan pencari perlindungan itu, yang mencederakan empat ahli sekeluarga yang merupakan pelancong dari Hong Kong dalam serangan tersebut. Penyerangnya telah dibunuh oleh polis ketika dia cuba melarikan diri.

“Dalang serangan tikaman di Jerman itu merupakan salah seorang pejuang IS,” kata agensi berita Amaq yang berkaitan dengan IS, dalam dakwaan yang disiarkan dalam stesen radionya, Al-Bayan.

Serangan berlaku di sebuah kereta api serantau berhampiran bandar selatan Wuerzburg lewat Isnin.

Dua daripada mangsa mengalami kecederaan kritikal, kata menteri dalam negeri kerajaan Bavaria, Joachim Herrmann.

Pegawai polis berdiri berhampiran kereta api serantau di Wuerzburg selatan Jerman pada 18 Julai selepas seorang remaja lelaki menyerang penumpang kereta api menggunakan kapak. – AFP
Pegawai polis berdiri berhampiran kereta api serantau di Wuerzburg selatan Jerman pada 18 Julai selepas seorang remaja lelaki menyerang penumpang kereta api menggunakan kapak. – AFP

“Kami berharap mereka yang cedera parah itu akan selamat,” kata Herrmann dalam televisyen awam ZDF. Dia kemudian memberitahu penduduk tempatan yang mengenali penyerang itu, dikenali dalam laporan media sebagai Riaz A., menggambarkan dirinya sebagai seorang yang ‘tenang dan tidak kelihatan seperti penganut Islam yang radikal atau fanatik’.

“Menurut siasatan sejauh ini, tidak ada bukti di tempat kejadian yang menunjukkan dirinya tergolong dalam rangkaian Islamis,” kata Herrmann.

Bagaimanapun, katanya polis telah menemui sepucuk surat yang kelihatannya ditinggalkan untuk ayahnya, yang masih tinggal di Afghanistan, yang mana dia mengatakan tentang dunia Islam, dan berkata mereka ‘perlu mempertahankan diri mereka sendiri’.

Serangan itu berlaku pada sekitar 9:15 malam di sebuah kereta api yang bergerak antara bandar Treuchlingen dan Wuerzburg di Bavaria.

Seorang saksi memberitahu agensi berita DPA bahawa stesen kereta api itu yang membawa kira-kira 25 orang, kelihatan seperti ‘rumah sembelih’ dengan darah memenuhi lantainya.

Herrmann kemudian berkata remaja itu ditembak apabila dia menyerang polis dengan kapak ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA