Penyerang maut ditembak pengawal

VIENNA, 12 Mac – Seorang lelaki warga Austria berusia 26 tahun telah ditembak mati di luar kediaman kedutaan Iran di Vienna malam semalam selepas dia menyerang seorang pengawal keselamatan dengan bersenjatakan sebilah pisau, menurut polis.

Penyerang itu telah ‘mati di tempat kejadian’ selepas seorang askar melepaskan tembakan, menurut jurucakap polis Harald Soeros kepada AFP, menambahkan bahawa serangan itu berlaku sebelum tengah malam waktu setempat.

Menurut pihak polis, motif serangan itu masih belum diketahui. Sementara itu, askar yang berkawal di luar bangunan telah mengalami kecederaan di bahagian atas tangannya akibat terkena serangan.

“Dia pada mulanya menggunakan semburan lada” untuk melawan penyerang, kata Soeros, sebelum melepaskan tembakan. Dia dipercayai telah melepaskan kira-kira empat das tembakan kepada penyerang.

Siasatan awal menunjukkan dia telah bertindak “berdasarkan udang-undang,” kata seorang jurucakap daripada kementerian pertahanan yang dipetik oleh agensi APA.

Pasukan polis berkawal di kediaman kedutaan Iran selepas satu serangan bersenjata di Vienna, Austria, semalam. Polis berkata seorang penyerang warga Austria ditembak mati oleh pengawal yang cedera akibat diserang di luar kediaman. – AP

Askar itu yang berasal dari Tyrol, Austria telah mendapatkan rawatan di hospital, tambah pegawai.

Pihak polis telah mengeluarkan arahan untuk mengetatkan kawalan di kesemua misi diplomatik di sekitar bandar itu.

Insiden itu yang berlaku beberapa hari selepas dua serangan bersenjatakan pisau di Vienna termasuk serangan yang menyebabkan sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka mengalami kecederaan yang teruk.

Manakala serangan yang dilakukan oleh warga Afghanistan, 23 tahun, telah menafikan kesemua serangan itu bermotifkan politik. – AFP