Penyerang tikam polis dikaitkan dengan IS

Penyerang tikam polis dikaitkan dengan IS

MAGNNANVILLE, Perancis, 15 Jun (AFP) – Seorang radikal yang telah disabitkan dengan kesalahan dan yang telah membunuh pasangan anggota polis Perancis dalam penikaman yang mendapat inspirasi dari IS membawa ‘senarai sasaran’ orang kenamaan dan menggesa para pengikut supaya menjadikan Euro 2016 ‘kawasan perkuburan’, menurut para pegawai.

Serangan Isnin lalu di pinggir bandar Paris, Magnanville adalah serangan maut pertama di Perancis sejak serangan yang diselaraskan di ibu negara oleh sel Kumpulan IS pada November lalu, yang mengorbankan 130 orang.

Pembunuhan juga berlaku baru 36 jam selepas pembunuhan beramai-ramai di sebuah kelab gay di Orlando oleh seorang lelaki bersenjata yang mendapat inspirasi IS, dan Presiden Perancis Francois Hollande telah bercakap melalui telefon dengan rakan sejawatannya dari AS Barack Obama untuk membincangkan ancaman menakutkan itu.

“Kedua-dua pemimpin menegaskan semua komitmen bersama mereka untuk memusnahkan ISIL dan menentang pengganasan meluas,” Rumah Putih berkata dalam satu kenyataan semalam, dengan menyebutkan nama lain bagi IS.

Dalam kejadian berasingan di Perancis semalam, seorang lelaki yang diketahui mengalami masalah jiwa telah menikam seorang gadis remaja di bandar barat, Rennes dengan mengatakan dia terdengar suara-suara yang memberitahunya supaya membuat ‘pengorbanan’ di bulan Ramadan.