Penyerang ‘tukar serangan ke Brussels dari Perancis’

Penyerang ‘tukar serangan ke Brussels dari Perancis’

BRUSSELS, 11 April (AFP) – Pejuang berani mati Islamic State IS yang berpangkalan di Brussels yang menjadi dalang keatas serangan di Paris telah merancang serangan baru di Perancis tetapi mensasarkan bandar Belgium apabila pihak polis semakin hampir dalam penyiasatan mereka, menurut seorang pendakwa semalam.

Pendakwa persekutuan Belgium juga mengumumkan bahawa lelaki yang digelar ‘lelaki bertopi’, Mohamed Abrini, yang dilihat dalam rakaman CCTV di lapangan terbang Brussels sebelum pengeboman bulan lalu, telah didakwa dengan tuduhan pembunuhan ganas’.

Pengebom berani mati telah membunuh 32 orang di lapangan terbang dan sebuah stesen metro pada 22 Mac, dan meninggalkan jejak yang membawa terus kepada serangan di Paris pada bulan November yang mengorbankan 130 orang.

“Pelbagai elemen dalam penyiasatan telah menunjukkan bahawa kumpulan pengganas pada awalnya berniat menyerang Perancis lagi,” pejabat pendakwa persekutuan berkata dalam satu kenyataan.

“Terkejut dengan cepatnya perkembangan dalam penyiasatan yang sedang berjalan, mereka serta-merta mengambil keputusan untuk menyerang Brussels.”

Pihak pendakwa tidak memberikan butiran seterusnya, tetapi pengeboman di Brussels menyusuli penangkapan tersangka utama serangan di Paris, Salah Abdeslam pada 18 Mac lalu, selepas empat bulan diburu.

“Itu adalah bukti tambahan tentang ancaman sangat tinggi kepada keseluruhan Eropah dan Perancis, terutamanya,” Perdana Menteri Perancis Manuel Valls berkata tentang kenyataan pihak pendakwa.

Menteri Dalam Negeri Perancis Bernard Cazeneuve menambah kata Perancis akan terus berwaspada bagi masa akan datang yang tidak pasti.

“Kita masih berdepan tahap tinggi ancaman, kerja polis dan badan kehakiman adalah proses yang panjang, ia akan berterusan bagi tempoh lama,” ujarnya.