Penyerapan JPSN ke Jabatan Perbendaharaan

Penyerapan JPSN ke Jabatan Perbendaharaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perbekalan dan Stor Negara (JPSN), Kementerian Kewangan akan diserapkan ke dalam Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di bawah Bahagian Perkhidmatan Kewangan dan Perbekalan mulai 1 Ogos ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengatakan, penyerapan adalah antara inisiatif kementerian itu untuk menyelaraskan fungsi jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian dalam kementerian ke arah mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber sedia ada secara lebih kos efektif.

Menurut kenyataan itu lagi, penyerapan juga diharap dapat memperkemaskan lagi pengurusan tugas dan tanggungjawab di Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di dalamnya khususnya JPSN.

Sehubungan dengan itu, segala urusan seperti perbekalan beras, gula, peralatan pejabat, bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan barangan mudah pecah adalah masih lagi dikendalikan di tempat yang sama iaitu di Jalan Gadong, BE 1110, Negara Brunei Darussalam.

Bagi sebarang maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian hotline 2383666 atau melalui e-mel ppp@treasury.mof.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA