Penyertaan ACPA kini mula dibukakan

Penyertaan ACPA kini mula dibukakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Penyertaan untuk Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA) 2016 kini dibukakan kepada semua pegawai dan kakitangan dalam Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam; pihak swasta; dan juga orang ramai.

Penyertaan boleh dibuat secara perseorangan atau pun berkumpulan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, ACPA memberikan tumpuan kepada dua kategori iaitu projek yang telah menampakkan hasil atau natijah (outcome) dan impak yang besar / positif ke atas perkhidmatan awam; dan cadangan dalam bentuk kertas kerja buah fikiran (idea) yang berpotensi untuk dipraktikkan dalam perkhidmatan awam.

Penyertaan ACPA dibukakan kepada dua bahagian iaitu bagi Kertas Projek ia adalah untuk semua pegawai dan kakitangan kementerian / jabatan dalam Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam, manakala bagi Kertas Cadangan pula ia dibukakan untuk semua pegawai dan kakitangan kementerian / jabatan dalam Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam, pihak swasta dan orang ramai.

Pihak yang akan menyertai ACPA dibolehkan mencalonkan sebanyak mungkin kertas projek/cadangan yang memenuhi matlamat ACPA yang antara lainnya adalah untuk menggalakkan inovasi dalam urus tadbir baik (good governance) dalam perkhidmatan awam; Menghargai keunggulan/kecemerlangan dalam sektor awam; memotivasikan penjawat awam untuk lebih mempromosikan/menggalakkan inovasi; meningkatkan profesionalisme di dalam perkhidmatan awam; meningkatkan imej perkhidmatan awam.

Selain itu, ia juga untuk mengumpulkan dan menyebarkan praktis-praktis yang berjaya untuk dicontohi agensi-agensi sektor awam yang lain; dan menggalakkan penyertaan orang awam dan sektor swasta dalam menyumbangkan idea ke arah pembaikan dan pembaharuan perkhidmatan awam.

Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan kertas projek/cadangan ACPA 2016 ini terbuka kepada pelbagai bidang yang antara lain adalah seperti Meningkatkan Penyampaian Perkhidmatan Awam; Inovasi dalam Perkhidmatan Awam; Mencegah dan Memerangi Rasuah dalam Perkhidmatan Awam.

Serta, Meningkatkan Integriti, Ketelusan, Akauntabiliti dan Tindak balas dalam Perkhidmatan Awam; Memajukan Pengurusan Ilmu dalam Kerajaan; Aplikasi Teknologi Info-Komunikasi dalam Kerajaan: e-kerajaan.

Dan juga, Penambahbaikan Kualiti Proses dalam Perkhidmatan Awam yang menyumbang kepada mempercepatkan urusan-urusan yang berkaitan dengan Ease of Doing Business.

Borang Penyertaan dan Garis Panduan ACPA 2016 boleh didapati di Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Bahirah, Jalan Menteri Besar dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang jabatan di alamat www.jpp.gov.bn.

Borang penyertaan yang telah lengkap hendaklah dihadapkan ke Jabatan Perkhidmatan Pengurusan tidak lewat pada Isnin, 20 Jamadilawal 1437H bersamaan 29 Februari 2016 jam 4.30 petang.

ARTIKEL YANG SAMA