Penyertaan belia disasar meningkat dalam agromakanan

Penyertaan belia disasar meningkat dalam agromakanan

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Penyertaan golongan belia dalam pertubuhan peladang dan industri agromakanan disasar meningkat kepada 30 peratus menjelang 2020, daripada 15 peratus sekarang, yang bakal menjadikan sektor pertanian Malaysia lebih dinamik dan progresif.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, suntikan tenaga muda penting kerana keahlian dan penyertaan belia yang tergolong dalam lingkungan umur bawah 40 tahun dapat mewujudkan generasi pelapis dalam sektor pertanian negara.

“Kita mahukan elemen muda dan mentaliti baharu. Transformasi usahawan tani dalam pertanian negara penting kerana penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memberikan peluang keusahawanan global dan eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran “Kempen Meremajakan Pertubuhan Peladang” anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, Isnin.

Pertubuhan Peladang yang ditubuhkan sejak 43 tahun lepas kini mempunyai keahlian lebih daripada 800,000 orang tetapi hanya 15 peratus ahlinya yang berumur 40 tahun ke bawah.

“Senario ini perlu ditangani dan saya amat menyokong perancangan dan usaha LPP untuk mempergiatkan kempen supaya golongan muda menyertai pertubuhan peladang atau sektor pengeluaran makanan, dan penglibatan mereka disasar ditingkatkan kepada 30 peratus pada 2020,” katanya.

Menurutnya, selain daripada bidang penanaman, golongan belia juga boleh mencebur diri dalam bidang berkaitan seperti pemasaran dan pengangkutan.

Sementara itu Tajuddin dalam ucapan perasmiannya berkata kementeriannya telah menyediakan platform sokongan seperti Unit Agropreneur Muda untuk meningkatkan pembabitan golongan muda khususnya dalam bidang industri agromakanan.

“Di bawah program pembangunan Agropreneur Muda, kementerian telah memperuntukkan bantuan sebanyak 30 peratus daripada kos projek.

“Ia merangkumi bantuan insentif untuk memperoleh peralatan kelengkapan bagi menaik taraf projek termasuk input pertanian dan keperluan bahan mentah,” katanya. – Bernama