Penyertaan belia meningkat

Penyertaan belia meningkat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Semakin ramai belia dari Daerah Brunei dan Muara menyertai pertandingan Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bahkan penyertaan ramai ini mampu melahirkan qari dan qariah belia berkaliber yang bukan sahaja memberi saingan di peringkat kebangsaan, malah memberikan persaingan kepada peserta peringkat antarabangsa.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pegawai Belia dan Sukan, selaku Setiausaha Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan, Hajah Noor Mazslina binti Haji Sulaiman ketika berucap di peringkat separuh akhir pertandingan itu di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

Menurutnya, pada tahun ini, peningkatan penyertaan agak tinggi dari Daerah Brunei dan Muara dengan 78 orang peserta, manakala dari Daerah Tutong lapan orang peserta, Daerah Belait dan Temburong masing-masing enam orang, menjadikan keseluruhan 96 orang qari dan qariah yang menyertai musabaqah itu.

Salah seorang peserta mendengarkan bacaan.
Salah seorang peserta mendengarkan bacaan.
Hajah Noor Mazslina ketika berucap pada majlis itu.
Hajah Noor Mazslina ketika berucap pada majlis itu.

“Musabaqah dihasratkan menjadi wadah kepada qari dan qariah belia untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam pembacaan Al-Quran secara berlagu atau taranum,” tambahnya.

Pada pertandingan itu, empat qari dan qariah terpilih memasuki pusingan akhir iaitu Awang Muhammad Sa’dun bin Suhaili, Awang Awang Ashizal bin Zainal Abidin, Awang Abdull Mu’in bin Gahu Abd Hamid dan Awang Muhammad Arif bin Haji Johari.

Manakala qariah pula ialah Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri, Hajah Wafiqah binti Haji Daim dan Dayangku Nur Aqilah binti Pengiran Haji Ayub.