Penyertaan Brunei dalam Melayu Day @ Yala

Oleh Vivi Mahmud

 

DEMI cinta kepada Melayu, salah seorang penduduk tempatan yang ketika ini tinggal di Phuket, Thailand, Pengiran Shariful Bahri bin PSI Pengiran Haji Ismail bersama-sama dengan ahli keluarga beliau telah menyertai satu festival yang dianjurkan bersama oleh Konsul Jeneral Malaysia dan Indonesia di Songkhla serta Pejabat Kebudayaan Wilayah Yala dan Perbandaran Yala.

Datuk bandar, Pongsah Yingchoncharoen berkata bahawa festival tersebut sebelum ini dikenali sebagai ‘Melayu Day of Yala’ dan bermula pada tahun 2014 bagi menyerlahkan lagi budaya Melayu di Yala, Thailand. Festival itu telah dijalankan setiap tahun sejak tahun 2014 dan tahun ini merupakan tahun keempat ianya diselenggarakan.

Festival ini merangkumi pelbagai bentuk aktiviti seni budaya seperti seminar mengenai budaya Melayu, pertandingan layang-layang, perbarisan gajah, pertandingan ucapan Thailand ke Bahasa Melayu, persembahan nasyid, perarakan kebudayaan, demonstrasi masakan dan pertunjukan masakan serta mengujinya.

Tetamu kehormat dan tetamu-tetamu yang lain dalam festival itu dihidangkan dengan makanan tradisi Brunei ‘Ambuyat’.
Tetamu kehormat dan tetamu-tetamu yang lain dalam festival itu dihidangkan dengan makanan tradisi Brunei ‘Ambuyat’.
Pertunjukan seni budaya dari Brunei Darussalam yang memperlihatkan keunikan majlis perkahwinan Brunei, ‘Malam Berbedak’
Pertunjukan seni budaya dari Brunei Darussalam yang memperlihatkan keunikan majlis perkahwinan Brunei, ‘Malam Berbedak’

Penyertaan pertama dari Brunei Darussalam

Ini adalah penyertaan pertama kali buat peserta dari Negara Brunei Darussalam dan perwakilan Brunei Darussalam telah menunjukkan budaya majlis perkahwinan yang unik di Brunei yang dikenali sebagai ‘Malam Berbedak’.

Tetamu kehormat dalam festival itu bersama-sama dengan Kedutaan Brunei di Thailand serta tetamu-tetamu yang lain telah dijemput untuk mencuba masakan tradisi Brunei yang istimewa, ‘Ambuyat’ bersama dengan hidangan Brunei yang lain. ‘Menambat Dastar’ turut ditunjukkan dalam festival kebudayaan tersebut.

Melayu Day @ Yala yang berlangsung selama tiga hari itu iaitu dari 10 Februari sehingga 12 Februari di Taman Gajah Putih, Yala turut diserikan dengan 200 gerai yang menjual aksesori, makanan, pakaian dan pelbagai jenis barang kebudayaan Nusantara.