Penyertaan Maulud dibuka

Penyertaan Maulud dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Acara kemuncak Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Tahun 1437 Hijrah akan diadakan pada 12 Rabiulawal 1437H bersamaan 24 Disember 2015 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Sehubungan itu, Urus Setia Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1437 Hijrah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan bahawa borang penyertaan bagi Daerah Brunei dan Muara telah pun dibukakan.

Bagi daerah ini, penyertaan dibukakan kepada pasukan-pasukan beruniform; kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan; sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi; persatuan-persatuan dan sektor swasta; serta kampung-kampung, majlis perundingan kampung dan takmir masjid.

Borang penyertaan boleh diperoleh di Urus Setia Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W Peringkat Negara bagi tahun 1437H, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, di Tingkat 2, KHEU, Jalan Dewan Majlis dan borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan di tempat yang sama atau faks ke talian 2382351 atau e-mel ke alamat syiar.islam@mora.gov.bn dengan tarikh akhir pendaftaran adalah pada 10 Disember jam 4:00 petang.

Sementara itu, borang pendaftaran bagi Daerah Belait, Tutong dan Temburong bolehlah diperoleh di Pejabat Hal Ehwal Ugama daerah masing-masing dan mengembalikannya di pejabat yang sama.