Penyertaan menghafaz Al-Quran dibuka

Penyertaan menghafaz Al-Quran dibuka

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Borang penyertaan Pertandingan Menghafaz Surah-surah Pilihan Berserta Pemahaman Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Peringkat Daerah Brunei dan Muara kini telah dibukakan kepada orang ramai dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 7 Mei 2016.

Perkara ini telah diumumkan Penolong Pegawai Kerja Tingkat 1, Awang Mohamad Hasanhamuny bin Bakar dan Dayang Noor Sarina binti Haji Kassim selaku Urus Setia Pertandingan Peringkat Daerah Brunei dan Muara.

Awang Mohamad Hasanhamuny menjelaskan, pertandingan berkenaan dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang tinggal dan bermastautin di negara ini dan setiap penyertaan hendaklah melalui masjid-masjid, surau dan balai ibadat, serta disahkan oleh imam masjid dan penghulu mukim/ketua kampung berkenaan dengan menyertakan salinan surat beranak dan kad pintar.

Dayang Noor Sarina pula menjelaskan mengenai kategori pertandingan yang terbahagi kepada enam, iaitu Kategori Kanak-kanak Lelaki, Kategori Kanak-kanak Perempuan, Kategori Remaja Lelaki, Kategori Remaja Perempuan, Kategori Dewasa Lelaki dan Kategori Dewasa Perempuan.

Kategori Kanak-kanak adalah bagi peserta berumur enam hingga 14 tahun, kategori remaja bagi umur 15 hingga 25 tahun, kategori dewasa pula terbuka kepada peserta yang berumur 26 tahun ke atas.

Awang Mohamad Hasanhamuny dan Dayang Noor Sarina menerangkan mengenai pertandingan menghafaz surah-surah pilihan berserta pemahaman sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun.
Awang Mohamad Hasanhamuny dan Dayang Noor Sarina menerangkan mengenai pertandingan menghafaz surah-surah pilihan berserta pemahaman sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun.

Manakala itu, para Huffaz 30 Juzuk Al-Quran, pegawai-pegawai masjid dan penuntut atau bekas penuntut Institut Tahfiz termasuk guru-guru ugama lepasan Institut Tahfiz adalah terkecuali daripada mengikuti pertandingan berkenaan, ujar beliau.

Menurut Awang Mohamad Hasanhamuny, pertandingan di peringkat daerah dijangka akan bermula pada Mei depan, yang akan berlangsung di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Pertandingan akhir peringkat negara pula dijangka akan diadakan pada Ogos 2016 di Daerah Tutong dan dikendalikan oleh Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan daerah, surah-surah untuk dihafaz bagi Kategori A dan B ialah Surah Al-Dhuha hingga Surah Al-Nas, manakala pemahamannya ialah Surah Al-Asr, Surah Al-Ma’uun dan Surah Al-Ikhlas.

Bagi Kategori C dan D ialah Surah Al-Mulk dan pemahaman surah yang dihafaz dengan soalannya ‘sebab-sebab turunnya surah ini’, ‘fadilat dan kedudukan surah dalam Al-Quran, sementara itu, untuk Kategori E dan F pula ialah hafazan Surah Yasin dan pemahaman Surah yang dihafaz dengan soalannya.

Pertandingan ini merupakan acara iringan bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun dengan acara-acara keagamaan.

Ia dikendalikan oleh Jawatankuasa Acara-acara Keagamaan Sambutan Perayaan di Peringkat Daerah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) untuk memilih wakil setiap daerah ke pertandingan akhir negara.

Pertandingan berkenaan juga bertujuan untuk menanam rasa cinta kepada Al-Quran di samping menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai amalan harian serta mendokong hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA