Penyertaan Musabaqah Al-Quran kini dibukakan

Penyertaan Musabaqah Al-Quran kini dibukakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, akan menganjurkan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1437H bersamaan dengan 2016 Masihi.

Musabaqah tersebut merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dan merupakan salah satu pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan setiap tahun.

Sehubungan itu, penyertaan kini dibukakan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap yang beragama Islam.

Setiap penyertaan hanya boleh mengikut satu kategori musabaqah sahaja dengan mengikut syarat-syarat bagi setiap kategori. KHEU dalam satu kenyataan di sini berkata, pada tahun ini musabaqah tersebut akan mempertandingkan 5 kategori iaitu Kategori A,B,C,D dan E.

Bagi Kategori ‘A’, ia dibukakan kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah pada 1 Januari 2016 dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘A’ sebanyak 2 kali berturut-turut.

Bagi Kategori ‘B’, ia dibukakan kepada kanak-kanak berumur 15 tahun kebawah pada 1 Januari 2016 dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘B’ sebanyak 2 kali berturut-turut, dan bukan terdiri daripada penuntut Institut Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara.

Bagi kategori ‘C’ pula, ia dibukakan kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 10, 20 dan 30 Juzuk serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘C’ sebanyak 2 kali berturut-turut.

Sementara itu bagi Kategori ‘D’, terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘D’ sebanyak 2 kali berturut-turut.

Bagi Kategori ‘E’ pula, terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan 3 tahun berturut-turut dalam Kategori Menghafaz 30 Juzuk. Peserta yang pernah menjadi johan 3 tahun berturut-turut boleh menyertai musabaqah semula iaitu selepas 2 tahun kemudian musabaqah diadakan.

Borang penyertaan kini boleh diperolehi dari Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU, Blok 2H Tingkat 8, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan, BA1311, Negara Brunei Darussalam.

Tarikh tutup mengembalikan borang penyertaan ialah pada hari Selasa, 19 Januari 2016M, jam 4:00 petang. Bagi sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi Urus setia Pertandingan Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 1435 Hijrah, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui telefon 2233365 dan 2237512.

ARTIKEL YANG SAMA