Penyertaan para peniaga memberangsangkan

Penyertaan para peniaga memberangsangkan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 1 April – Peningkatan jumlah penyertaan para peniaga pada acara Mega Garage Sale anjuran Syarikat Perdasa Sendirian Berhad (SPSB) dengan kerjasama Pusat Insani Seria baru-baru ini telah memberi keyakinan kepada peniaga tempatan untuk terus menyokong dan mengikuti acara jualan tersebut.

Menurut Pengarah Urusan SPSB, Awang Mohd Hamdelah bin Haji Mohd Musa ketika ditemui oleh Media Permata hari ini berkata, bilangan tersebut kian meningkat dengan jumlah lebih 80 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) menyertai acara itu bagi bulan ini berbanding 70 pengusaha yang menyertai pada acara yang sama pada bulan Februari lepas.

“Pada acara bulan ini terdapat para PKS yang baru dan yang telah mengikuti acara ini sejak ia dilancarkan buat pertama kali dan keyakinan daripada para PKS di sini menunjukkan bahawa mereka mengetahui prestasi dan potensi keuntungan yang mereka perolehi dengan mengikuti acara di sini,” jelasnya lagi.

Penambahan bilangan PKS juga adalah hasil daripada pelbagai aktiviti dan acara sampingan yang dimasukkan ke dalam acara kali ini untuk menarik para pengunjung agar mereka akan datang ke Pusat Insani.

Awang Mohd Hamdelah ketika ditemu bual oleh Media Permata.
Awang Mohd Hamdelah ketika ditemu bual oleh Media Permata.

Menurut Awang Mohd Hamdelah lagi disebabkan keuntungan daripada barangan yang dijual mendapat pulangan dan hasil yang baik, ramai PKS kali ini menggunakan pondok daripada meja untuk menjual produk mereka.

“Justeru itu, kami sedang merancang untuk mengadakan ‘sesuatu’ di luar kawasan Pusat Insani nanti di acara yang sama ini pada bulan-bulan yang akan datang,” tambah pengarah urusan itu lagi, tanpa mendedahkan apakah perancangan tersebut.

Acara Mega Garage Sale kali ini melihat penyertaan yang sangat mengalakkan sekitar 60 peratus PKS dari Daerah Belait sendiri, manakala 40 peratus PKS yang lain adalah penyertaan dari daerah-daerah yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA