Penyertaan pertama FIC di London

Penyertaan pertama FIC di London

LONDON, 14 Okt – Felda Investment Corporation (FIC), cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), terus melangkah ke hadapan dengan mempelbagaikan aset pelaburannya melalui penyertaan buat julung kalinya dalam pasaran penginapan pelajar di sini iaitu Felda House Wembley.

Terletak di tengah-tengah Wembley, pembinaan Felda House Wembley siap pada Julai tahun ini, dengan kos sebanyak 58,500,000 (RM373,452 525).

Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata pelaburan FIC dalam pasaran penginapan pelajar tepat pada masanya berikutan segmen ini semakin pesat membangun dalam beberapa tahun ini sebagai pelaburan global utama yang penting.

Pelaburan sedemikian selaras dengan matlamat Felda untuk menjadi syarikat pelaburan Malaysia yang penting dengan pelbagai kumpulan perniagaan terpilih di peringkat global, katanya ketika merasmikan Felda House Wembley di sini pada Selasa.

Isa berkata penerokaan dalam segmen penginapan pelajar adalah bukti komitmen Felda untuk mencapai matlamat ini selain menjana pendapatan tambahan dan kukuh untuk Felda melalui inisiatif pelaburan yang berdaya maju.

pg19_151015_a

Beliau berkata melabur dalam segmen tersebut dilihat sebagai lanjutan kepada kehadiran kukuh Felda dalam industri hospitaliti yang menambah momentum semasanya di dalam dan luar negara.

“Ia juga sebahagian daripada langkah strategik FIC untuk mempelbagaikan asetnya dan memastikan ia dapat memaksimumkan pulangan pelaburan syarikat untuk manfaat utama peneroka,” katanya. Felda kini memiliki 12 hotel dan resort, termasuk Pangsapuri Perkhidmatan Grand Plaza, Bayswater dan Grand Plaza Kensington, kedua-duanya di London.

Mengulas mengenai peranan Felda, beliau berkata Felda telah memberikan khidmat kepada Malaysia dan peneroka selama beberapa dekad dalam usaha merapatkan jurang ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar dengan memastikan peneroka dapat menyara diri mereka dan keluarga mereka melalui pelbagai aktiviti ekonomi.

“Felda kini mencapai satu tahap di mana ia perlu menumpukan kepada pengukuhan keupayaan ini dan memastikan mampan dalam tempoh jangka panjang. Justeru, syarikat (Felda) memberi lebih penekanan kepada mendidik dan melengkapi generasi baharu peneroka Felda dengan pengetahuan dan kemahiran,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Felda Datuk Hanapi Suhada dan Pengarah Kewangan UK CRM Students Limited Alan Coles.

Hartanah itu, yang dikendalikan C-R-M (CRM) Students Limited, kini beroperasi sepenuhnya, memperoleh hampir 100 peratus penghuni, berikutan lokasinya yang strategik, selain kemudahan dan reka bentuk moden dan bergaya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA