Penyiar perlu berdisiplin, komited

Penyiar perlu berdisiplin, komited

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Penyampaian berita yang berkualiti adalah teras utama bidang tugas Radio Televisyen Brunei (RTB) dan dalam hubungan itu, penyampai-penyampai berita diseru untuk secara berterusan meningkatkan lagi teknik atau tatacara penyampaian yang baik, efektif, penggunaan bahasa yang ringkas, padat serta mudah difahami.

Di samping itu, mereka juga diseru untuk sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama dengan pemberita, penulis skrip, penyunting serta membuat latihan walaupun sudah yakin dengan tatacara penyampaian masing-masing.

“Saya sangat percaya yang kitalah dapat melaksanakan tugasan dengan sangat baik dan dapat membantu jabatan ini untuk mencapai visi dan misi sebagai organisasi media yang menjana pembangunan masyarakat dan negara.”

Seruan itu dibuat oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Mohd Suffian bin Haji Bungsu dalam kata alu-aluannya di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Latihan Penyiar Berita: Cabaran dan Masa Hadapan, yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned.

Haji Mohd Suffian menyeru lagi supaya semua warga RTB akan terus berusaha gigih membantu jabatan berkenaan melaksanakan apa jua bentuk program yang digariskan. Selain itu sebagai media rasmi kerajaan, RTB juga berhadapan dengan saingan sengit daripada pelbagai sumber dari dalam dan luar negara.

Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus latihan itu.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus latihan itu.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab dan Andrew Crisps (4 kiri) bersama rakan, bergambar ramai dengan para peserta kursus latihan.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab dan Andrew Crisps (4 kiri) bersama rakan, bergambar ramai dengan para peserta kursus latihan.

“Dalam hal ini, RTB diuji secara berterusan dan dari semasa ke semasa terutama dalam aspek yang berkaitan dengan pemberigaan dan penjelasan isu-isu semasa dan human interest.”

Haji Mohd Suffian menambah, penyebaran maklumat secara berkesan merupakan prasyarat bagi membolehkan usaha kerajaan melaksanakan atau memperkenalkan satu-satu dasar supaya dapat difahami, diterima dan disokong oleh masyarakat umum bagi mengelakkan wujudnya jurang dan kesalahfahaman yang boleh memberikan impak negatif kepada kerajaan.

Beliau juga berkata bahawa, RTB sebagai media elektronik kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyebar maklumat yang tepat dan cepat serta membentuk pemikiran rakyat ke arah aspek-aspek positif.

Beliau turut menekankan bahawa sebagai barisan hadapan, apa jua kesalahan yang dibuat adalah dalam bentuk serta-merta dan tidak ada peluang kedua.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua penyiar RTB supaya menanamkan sifat berdisiplin, komited dan bersungguh-sungguh dalam tugasan bagi memberikan mutu perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan sistem penyampaian yang berkesan.”

Kursus latihan itu dianjurkan bersama oleh RTB dan Reuters, yang mana ia disertai oleh seramai 19 penyiar berita dengan latihan dikendalikan oleh pakar dan pemudah cara kursus daripada Reuters, Lloyd Watson dan Andrew Crisps dan Natalie Carnie dari Russia TV.

ARTIKEL YANG SAMA