Penyiasat antarabangsa mulakan siasatan

Penyiasat antarabangsa mulakan siasatan

KAHERAH, 1 Nov (AFP) – Penyiasat antarabangsa telah memulakan siasatan sebab-sebab sebuah pesawat udara Rusia yang membawa 224 penumpang terhempas di kawasan pergunungan Semenanjung Sinai Mesir, membunuh kesemua orang dalam salah satu nahas Airbus paling teruk dalam satu dekad lalu.

Bendera akan dikibarkan setengah tiang di bangunan rasmi di Rusia hari ini dan rancangan hiburan televisyen akan dibatalkan sebagai sebahagian daripada perkabungan negara untuk mangsa, kebanyakan mereka warga Rusia berusia dari 10 bulan hingga 77 tahun.

Kaherah dan Moscow telah menolak dakwaan daripada satu kumpulan militan yang bersekutu dengan pejuang jihad Islamic State mengatakan ia menembak jatuh pesawat udara yang diterbangkan oleh syarikat penerbangan Kogalymavia, beroperasi di bawah nama Metrojet, dalam perjalanan dari Sharm el-Sheikh ke St Petersburg.

Perdana Menteri Mesir Sharif Ismail berkata pakar telah mengesahkan militan tidak mampu menembak jatuh sebuah kapal terbang Airbus 321 pada ketinggian 30,000 kaki, sementara Menteri Pengangkutan Rusia Maxim Sokolov berkata dakwaan “tidak dapat dianggap tepat.”

Perakam data kotak hitam kapal terbang telahpun ditemui dan dihantar untuk dianalisis, dan lewat semalam Sokolov dan Menteri Kecemasan Rusia Vladimir Puchkov tiba di Kaherah bersama sekumpulan pakar untuk membantu dengan siasatan yang dipimpin oleh Mesir.

Sherif meninjau keadaan nahas kapal terbang di Sinai pusat berhampiran bandar El Arish, utara Mesir hari ini. – Reuters
Sherif meninjau keadaan nahas kapal terbang di Sinai pusat berhampiran bandar El Arish, utara Mesir hari ini. – Reuters

Dua penyiasat kemalangan udara dari Perancis, tempat asal Airbus, juga berkunjung ke Mesir bersama enam orang pakar daripada syarikat ruang aeroangkasa untuk membantu dalam siasatan.

Seorang pegawai tentera yang membantu pencarian memberitahu wartawan mereka telah menemui 163 mayat daripada sejumlah 224 orang yang menaiki pesawat Airbus 321 yang terhempas itu.

Firma Jerman Lufthansa, Emirates dan Air France semuanya berkata mereka akan menghentikan penerbangan di Sinai sehingga sebab-sebab di sebalik nahas menjadi jelas.

Kapal terbang itu, membawa 214 penumpang Rusia dan tiga warga Ukraine dan tujuh krew, terputus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara 23 minit selepas berlepas dari tempat peranginan Laut Merah Sharm el-Sheikh.

“Malangnya, semua penumpang penerbangan Kogalymavia 9268 dari Sharm el-Sheikh ke Saint Petersburg telah terkorban. Kami mengeluarkan takziah kepada keluarga dan kawan,” kata kedutaan Rusia di Kaherah.