Penyiasat diberi akses e-mail Valcke

Penyiasat diberi akses e-mail Valcke

pg22_150926_b

ZURICH, 25 Sept (AFP) – Pendakwa Switzerland semalam berkata, FIFA bersetuju untuk menyerahkan e-mel setiausaha agungnya yang digantung, Jerome Valcke (atas), untuk dijadikan bukti yang telah dituntut sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah besar-besaran ke atas bidaan Piala Dunia.

Pejabat Peguam Negara Switzerland Michael Lauber sebelum ini berkata, FIFA telah mengenakan “syarat” sebelum koresponden Valcke didedahkan tetapi kemudian mengumumkan akses kepada e-mel lelaki itu sedang disediakan.

Peguam negara “akan diberikan akses kepada semua e-mel Valcke seperti yang diminta,” menurut satu kenyataan pejabat Lauber sambil menambah semua itu “atas inisiatif FIFA sendiri” bersetuju untuk memberikan penyiasat semua surat-menyurat elektronik Valcke sejak Mei 2015.

Lauber melancarkan siasatannya pada bulan itu selepas Jabatan Keadilan AS mengumumkan pendakwaan terhadap 14 orang – sembilan pegawai FIFA dan lima eksekutif pemasaran sukan – dituduh terlibat rasuah bernilai lebih daripada AS$150 juta (134 juta euro) sejak 1991.

Siasatan Lauber, yang berasingan daripada kes AS, mengkaji sama ada rasuah telah dibayar berkaitan dengan Rusia dan Qatar yang masing-masing dianugerahkan Piala Dunia 2018 dan 2022.

E-mel bekas orang kanan Presiden FIFA Sepp Blatter itu akan menambahkan lagi bukti data elektronik yang dirampas oleh penyiasat Switzerland sebelum ini.

Bercakap di Zurich minggu lalu, Lauber berkata siasatan itu belum lagi mencecah “separuh masa pertama”.

Penyerahan e-mel daripada FIFA dibuat ketika jawatankuasa eksekutif berkumpul di Zurich, di mana para pegawai utama menerima maklumat terkini mengenai pelbagai krisis sekitar skandal badan induk bola sepak dunia itu.

Blatter bakal menghadapi media dalam satu sidang media yang dinanti-nantikan lewat hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA