Penyiasat kaji punca nahas

STEPANOVSKOYE, Rusia, 12 Feb – Para penyiasat hari ini akan mengkaji beberapa punca yang berkemungkinan sebagai penyebab sebuah pesawat penumpang yang membawa 71 orang, terhempas berhampiran Moscow selepas ia berlepas beberapa minit dan membunuh semua orang di dalam kapal yang telah menyaksikan salah satu kemalangan penerbangan terburuk di Rusia.

Jawatankuasa Penyiasatan Rusia berkata akan menimbangkan beberapa penjelasan termasuk kesilapan manusia, kegagalan teknikal dan keadaan cuaca, ketika negara itu mengalami rekod turunan salji dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Tetapi mereka tidak menyebutkan kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pengganasan.

Pesawat Antonov An-148 terhempas di daerah Ramensky di pinggir Moscow pada 2:48 petang kelmarin selepas berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di ibu negara.

“Seramai 65 penumpang dan enam kru berada di dalam kapal terbang tersebut dan kesemuanya maut,” kata pejabat penyiasatan pengangkutan Rusia dalam satu kenyataan.Tiga kanak-kanak adalah antara mereka yang maut dalam senarai yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Rusia.

Penerbangan itu dikendalikan oleh penerbangan domestik, Saratov Airlines dan menuju ke Orsk, sebuah bandar di pergunungan Ural.

Gambar menunjukkan para penyelamat Kementerian Kecemasan Rusia sedang bekerja di tapak nahas pesawat di daerah Ramensky kelmarin. Para penyiasat akan mengkaji penyebab pesawat penumpang yang membawa 71 orang itu terhempas selepas berlepas dari lapangan terbang Domodedovo. – AFP

Lebih 400 orang dan 70 kenderaan telah dihantar ke lokasi kemalangan, kata kementerian kecemasan negara itu.

Tempat kejadian diliputi salji yang lebat, menjadikannya sukar untuk dimasuki, dengan pekerja kecemasan terpaksa meletak kenderaan mereka dan mengambil bangkai kapal terbang dengan berjalan kaki. Mereka yang lain menggunakan kereta salji dan dron untuk meninjau tempat kejadian.

Menteri pengangkutan Rusia, Maksim Sokolov berkata, ‘kepakaran genetik’ diperlukan untuk membantu mengenal pasti mangsa dan menambah bahawa ia boleh ‘mengambil masa dua atau tiga bulan’.

“Saya merasakan gelombang kejutannya,” kata Maria, seorang penduduk kampung berhampiran lokasi kemalangan, memberitahu AFP. Pejabat siasatan pengangkutan berkata kapal terbang itu hilang dari skrin radar sekitar empat minit selepas berlepas. Seorang pegawai serantau berkata kotak hitam pesawat itu telah diambil. Pesawat buatan Rusia itu dilaporkan berusia tujuh tahun dan telah dibeli oleh Saratov Airlines dari syarikat penerbangan Rusia yang lain setahun lalu. – AFP