Penyiasat mula teliti kotak hitam EgyptAir

Penyiasat mula teliti kotak hitam EgyptAir

KAHERAH, 20 Jun (AFP) – Para penyiasat telah mula meneliti perakam penerbangan kotak hitam pesawat udara EgyptAir yang terhempas ke Mediterranean minggu lalu, dengan harapan membuktikan punca bencana, menurut pihak berkuasa semalam.

Airbus A320 yang mengendali Penerbangan MS804 dari Paris menuju Kaherah hilang dari skrin radar antara Crete, pulau Greece dan pantai utara Mesir pada 19 Mei. Seramai 66 orang berada di dalamnya.

Operasi pencarian luas telah dilancarkan, mencari serpihan dan kepingan-kepingan badan pesawat di dasar Mediterranean, sebelum perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit ditemui minggu lalu.

Jawatankuasa menyelidik yang diketuai Mesir telah mula meneliti kotak-kotak hitam Sabtu lalu dalam kehadiran wakil-wakil dari Perancis dan AS, yang mana enjin telah dibuat, menurut pihak berkuasa penerbangan awam Mesir.

Kedua-dua alat itu telah rosak dan terpaksa dibawa naik dari dasar laut dalam beberapa peringkat, menurut pihak berkuasa.

Unit memorinya telah dikeluarkan di makmal kementerian penerbangan awam di Kaherah dan sedang diuji, menurutnya lagi. Data pada kotak itu telah dimuat turun, sebelum ia dianalisis dalam satu prosedur yang dijangka mengambil masa beberapa minggu.

Jika rosak teruk, kotak-kotak hitam itu akan dihantar ke luar negara untuk dibaiki, atau kerja boleh dilakukan di Mesir, menurut pihak berkuasa.

Para penyiasat berkata terlalu awal untuk memastikan apakah punca pesawat itu terhempas, meskipun serangan ganas diambil kira.