Penyiasatan bagi mencari kebenaran tersembunyi

Penyiasatan bagi mencari kebenaran tersembunyi

ULASAN BUKU OLEH RAZALI SALAM

 

BASHIR Bish Ortley adalah seorang pegawai polis yang bertugas di dalam balai di Kota London. Masih belum dapat menerima kenyataan bahawa anaknya telah meninggal dunia beberapa tahun dahulu, begitu juga dengan keruntuhan rumah tangganya.

Di seberang selat, sebuah bas percutian musim panas yang telah membawa sekumpulan remaja-remaja berbangsa Inggeris terlibat di dalam sebuah serangan bom, membunuh empat orang penumpangnya dan mencederakan yang lainnya. Anak perempuan Bish adalah salah seorang daripada penumpang itu.

Suspek dipercayai adalah seorang remaja berusia 17 tahun, Violette LeBrac, yang mana datuknya bertanggungjawab ke atas sebuah serangan bom yang telah mengorbankan seramai berpuluh nyawa 14 tahun yang lalu. Ibunya pula, Noor, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana bersubahat dalam serangan itu.

Sementara Bish dalam pencarian memburu Violette yang telah dikatakan hilang, dia terpaksa bekerja sama dengan Noor LeBrac dan adiknya Jimmy Sarraf.

Semakin dia membabitkan dirinya ke dalam kehidupan keluarga tersebut semakin dia menyedari bahawa mungkin sahaja keluarga yang telah didakwa melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu sebenarnya adalah keluarga yang teraniaya, dan kebenaran masih tersembunyi di luar sana. lebih-lebih lagi kes pengeboman bas yang mana para penumpangnya itu terdiri daripada para remaja termasuk anaknya sendiri adalah sangat mencurigakan hatinya.

Bolehkah Bish mendapatkan kedamaian daripada sejarah lampaunya ketika dunia dikejutkan dengan dua kes pengeboman yang menggemparkan yang dipisahkan dengan waktu namun bertembung dengan jalan hidupnya sendiri?

Untuk mengetahui jawapan di sebalik persoalan tersebut, jangan lupa untuk mendapatkan novel Tell the Truth, Shame the Devil karya Melina Merchetta.