Penyokong Ireland Utara diserang penyokong Perancis

Penyokong Ireland Utara diserang penyokong Perancis

NICE, 12 Jun (AFP) – Sekumpulan penyokong Ireland Utara diserang sekumpulan remaja tempatan yang menjadikan insiden keganasan sepanjang Kejuaraan Eropah semakin menular.

Menurut anggota polis Ireland Utara yang menemani penyokong mereka di tempat kejadian, polis antirusuhan Perancis termasuk bertindak selepas sekumpulan remaja tempatan di sini, membaling botol ke arah penyokong Ireland Utara di sebuah kafe berdekatan Place Massena.

“Antara 20 hingga 30 remaja Nice melontar botol ke arah penyokong Ireland Utara. Sebahagian botol dibaling semula dan berlaku tumbuk-menumbuk,” kata pegawai berkenaan. “Polis Perancis tiba untuk meredakan keadaan.”

Ireland Utara akan bertemu Poland dalam aksi pembukaan Kumpulan C tengah malam ini.

Dianggarkan hampir 10,000 penyokong Ireland Utara dan beberapa ribu penyokong Poland berada di kota berkenaan untuk menyaksikan perlawanan.

Sebelum itu ratusan penyokong England dan Russia bergaduh di kota Marseille menjelang perlawanan Kumpulan B malam tadi, dengan seorang penyokong England dilaporkan cedera parah.

ARTIKEL YANG SAMA