Penyokong Leicester City di Bangkok hampa

Penyokong Leicester City di Bangkok hampa

BANGKOK, 2 Mei (Bernama) – Penyokong Leicester hampa selepas kelab kesayangan mereka dimiliki bilionair Thai, Vichai Srivaddhanaprabha hanya mampu seri 1-1 dengan Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam.

Kira-kira 1,000 daripada mereka berkumpul di bangunan King Power Complex di sini malam tadi bersedia untuk meraikan ‘kisah dongeng’ menjuarai liga sekiranya pasukan dikenali gelaran ‘Foxes’ itu berjaya menundukkan Manchester United.

King Power Complex di Rangnam Alley yang menempatkan pusat membeli-belah bebas cukai dan ibu pejabat syarikat King Power Duty Free dimiliki Vichai itu dibanjiri ‘lautan biru’ penyokong-penyokong Leicester.

Lengkap berpakaian jersi biru Leicester, penyokong disajikan dengan pelbagai acara hiburan, makanan dan minuman percuma serta layar gergasi yang menayangkan secara langsung perlawanan penting itu.

Dengan keputusan seri semalam, Leicester terpaksa menunggu keputusan perlawanan antara Tottenham Hotspurs dan Chelsea Selasa ini untuk mengetahui sama ada mereka adalah juara baru liga itu.

Penyokong kelab Leicester berkumpul di King Power Complex untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris antara kelab yang dimiliki bilionair Thai, Vichai Srivaddhanaprabha itu dengan Manchester United malam tadi. – Bernama
Penyokong kelab Leicester berkumpul di King Power Complex untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris antara kelab yang dimiliki bilionair Thai, Vichai Srivaddhanaprabha itu dengan Manchester United malam tadi. – Bernama

Juara Liga Perdana Inggeris akan menjadi milik skuad Claudio Ranieri secara automatik sekiranya Tottenham tewas kepada Chelsea.

Bagaimanapun, sekiranya Tottenham berjaya menundukkan skuad pimpinan Guus Hiddink itu, Leicester terpaksa mencatat kemenangan dalam perlawanan menentang Everton di tempat sendiri minggu depan untuk bergelar juara liga.

Vichai, orang kesembilan terkaya di Thai menurut majalah Forbes membeli kelab Leicester pada 2010 selepas syarikatnya menaja jersi pasukan itu selama tiga tahun berturut-turut.

Pada 2011, beliau dilantik sebagai pengerusi kelab Leicester.

Selaras dengan pemilikan kelab itu oleh Vichai, populariti Leicester dalam kalangan penduduk Thailand turut melonjak dan rata-rata mereka menganggap kelab itu sebagai ‘pasukan kebangsaan’ mereka yang kedua.

Syarikat King Power merupakan pemilik kepada beberapa kompleks membeli-belah bebas cukai di Thailand.