Penyokong tegar Kedah tekad buat larian

Penyokong tegar Kedah tekad buat larian

ALOR SETAR, 8 Dis – Seorang warga emas mahu berlari dari Stadium Shah Alam hingga Stadium Darul Aman sebagai tanda sokongan kepada skuad Helang Merah.

Nasir Abas, 60, dari Taman Sri Putra, Kuala Kedah akan berlari balik sehari selepas perlawanan akhir Piala Malaysia iaitu Ahad ini dengan menyasar tempoh larian selama 10 hari.

Beliau akan membuat larian tidak kira sama ada Kedah menang atau kalah pada final itu.

“Namun saya yakin pemain Kedah mampu memberi komitmen tinggi untuk menang pada perlawanan Sabtu ini,” kata Imam Masjid Lama, Kuala Kedah ini kepada Bernama di sini.

Nasir Abas menunjukkan kejayaannya yang pernah termasuk dalam The Malaysia Book Of Records.- Bernama
Nasir Abas menunjukkan kejayaannya yang pernah termasuk dalam The Malaysia Book Of Records.- Bernama

Beliau yang merupakan bekas anggota tentera berkata sebuah kereta akan turut mengiringi lariannya.

Nasir pernah mencatat nama dalam ‘The Malaysia Book Of Records’ selama dua tahun berturut-turut iaitu mulai 2002 kerana berjaya berlari sejauh 1,754 kilometer selama 30 hari di seluruh Semenanjung bermula dari Kelantan hingga Perlis.

Pada 2003 beliau turut berlari sejauh 2,068 kilometer dari Tawau hingga Kuching selama 53 hari. – Bernama