Penyokong United cuti 2 minggu

Penyokong United cuti 2 minggu

MANCHESTER, 11 Jan (Agensi) – Louis Van Gaal boleh menarik nafas lega seketika selepas Manchester United tidak akan beraksi di Old Trafford untuk dua minggu.

Situasi ini sedikit sebanyak memberi ‘rehat’ kepada penyokong United yang kecewa dengan corak permainan Van Gaal meskipun mereka berterusan menjerit ‘Serang, Serang, Serang’ setiap kali pasukan itu beraksi.

United berjaya mara ke pusingan keempat Piala FA menerusi sepakan penalti pada masa tambahan, namun ribuan kerusi di Old Trafford sudah pun kosong sebelum Wayne Rooney menjaringkan gol kemenangan menundukkan Sheffield United, 1-0.

Penyokong yang masih setia di dalam stadium pula mengejek pemain United ketika wisel penamat dibunyikan sementara legenda United, Paul Scholes, turut mengecam corak permainan yang membosankan sambil Michael Owen menyifatkan perlawanan itu sebagai memalukan.

Malah, situasi berkenaan tambah buruk selepas seorang penyokong ‘tertangkap’ sedang lena ketika menyaksikan perlawanan terbabit yang menjadi viral di laman media sosial, sekali gus membawa maksud baharu kepada ‘Teater Impian’ Old Trafford.

Laman web penyokong United, Stretty News menyifatkan aksi United sebagai ‘tiada kemahuan’ sambil memberi amaran betapa United sedang berhadapan dengan krisis.

Memetik kenyataan di laman web terbabit, mereka menyatakan menyingkirkan naib pengerusi eksekutif kelab itu, Ed Woodward bukan jalan penyelesaiannya kerana punca utama krisis terbabit ialah pemilik United iaitu keluarga Glazer. Bagaimanapun, Van Gaal tetap dipersalahkan memandangkan begitu banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk dia mendapatkan barisan pemain berkualiti bagi melengkapkan skuad mahalnya itu.

Selain itu, persembahan United di laman lawan juga turut merosot sejak Oktober dengan hanya kemenangan menentang Watford hasil jaringan minit akhir oleh Bastian Schweinsteiger.