Penyumbat telinga mampu cegah hilang pendengaran

Penyumbat telinga mampu cegah hilang pendengaran

WASHINGTON, 8 April (Bernama) – Memakai penyumbat telinga ke konsert muzik kuat mungkin kelihatan agak pelik namun boleh menjadi langkah berkesan untuk mencegah masalah hilang pendengaran sementara, lapor agensi berita China, Xinhua, yang memetik satu kajian pada Khamis.

Jumlah individu yang kehilangan pendengaran meningkat sejak beberapa tahun lepas. Di Amerika Syarikat, satu kaji selidik mendapati jumlah belia di negara itu yang kehilangan pendengaran meningkat sebanyak 31 peratus sejak 1988.

Satu penjelasan mengenai trend ini adalah peningkatan dalam pendedahan bunyi bising rekreasi, seperti menghadiri konsert, festival dan kelab malam, di mana tahap tekanan bunyi boleh kekal pada 100 hingga 110 desibel selama beberapa jam.

Dalam kajian itu, Wilko Grolman dari Pusat Perubatan Universiti Utrecht di Belanda serta rakan, secara rawak menugaskan 51 individu ke festival muzik luar di Amsterdam selama 4.5 jam dengan memakai penyumbat telinga atau tanpa alat pelindung telinga.

Purata umur peserta adalah 27 tahun dan purata tahap tekanan bunyi yang dialami ialah 100 desibel.

Kajian mendapati selepas festival itu, jumlah peserta yang mengalami hilang pendengaran sementara hanya lapan peratus dalam kumpulan memakai penyumbat telinga berbanding 42 peratus bagi kumpulan tanpa alat pelindung telinga.

ARTIKEL YANG SAMA