Penyusunan semula ekonomi perlu lebih serius

Penyusunan semula ekonomi perlu lebih serius

BRUSSELS, 13 Julai (Reuters) – Para pemimpin zon euro dalam sidang kemuncak tergempar malam tadi menyatakan mereka mahu Greece yang hampir bankrap menunjukkan kesungguhan dan melaksanakan program penyusunan semula dalam minggu ini juga.

Pelaksanaan rancangan penyusunan semula itu penting bagi menyuburkan kembali keyakinan negara kreditor untuk menghulurkan pakej bantuan menyelamatkan ekonomi negara itu serta mengekalkan Greece dalam zon mata wang tunggal, euro.

Perdana Menteri, Alexis Tsipras, diminta membentangkan rang undang-undang perbekalan dan langkah berjimat cermat baharu di Parlimen bagi meyakinkan 18 negara lain dalam zon euro untuk mengeluarkan pinjaman menyelamat ketiga bernilai 86 bilion euro. Antara langkah penyusunan semula yang perlu dilaksanakan Greece ialah yang membabitkan soal cukai dan bayaran pencen yang perlu diluluskan menjelang malam Rabu ini.

Pemimpin zon euro termasuk dari Jerman turut mencadangkan Greece ‘direhatkan’ sementara daripada zon itu jika gagal mematuhi syarat ditetapkan. Akan tetapi seorang pemimpin lain dikatakan menentang cadangan itu dan tidak akan memasukkannya dalam draf penyata persidangan jika Tsipras menerima cadangan penyusunan semula.

Perdana Menteri Greece tiba di pejabatnya selepas menghadiri rundingan bersama pemimpin-pemimpin zon Euro. – Reuters
Perdana Menteri Greece tiba di pejabatnya selepas menghadiri rundingan bersama pemimpin-pemimpin zon Euro. – Reuters

Dalam pada itu, Tsipras dalam ucapannya mahukan ‘rundingan yang ikhlas’ daripada persidangan itu bagi memastikan Eropah kekal bersatu.

Bagaimanapun, Canselor Jerman, Angela Merkel, berkata Greece belum memenuhi syarat-syarat ditetapkan untuk membolehkan mereka mula berunding menghulurkan pakej menyelamat terkini.

Jerman adalah penyumbang terbesar kepada dana menyelamat zon euro dan kenyataan beliau itu menggambarkan tentangan yang semakin membara daripada penduduk negara itu berhubung keperluan memberi lebih banyak hutang kepada Greece.

“Satu perkara terpenting sudah hilang, ..iaitu kepercayaan. Ini bermakna rundingan ini akan melalui laluan sukar dan mungkin sukar untuk kita capai persetujuan,” kata Merkel.

ARTIKEL YANG SAMA