Penyusutan mata wang bukan unik kepada Malaysia

Penyusutan mata wang bukan unik kepada Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) – Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata penyusutan semasa mata wang Malaysia bukan sesuatu yang unik memandangkan lebih daripada 120 mata wang dunia susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Bercakap dalam temu bual eksklusif dengan New Straits Times yang diterbitkan hari ini, Zeti berkata fenomena itu lebih menjejaskan pengeluar minyak dan komoditi berikutan mata wang mereka susut lebih rendah berbanding dolar AS daripada kumpulan lain.

Bagi kes Malaysia, Zeti berkata beberapa isu dalaman turut menjejaskan sentimen selain keyakinan, dan perlu diselesaikan.

“Ini akan dapat menyumbang kepada pemulihan mata wang negara,” katanya.

Ringgit susut melepasi RM4 berbanding dolar AS, menjejaskan isi rumah akibat kenaikan harga makanan dan lain-lain.

Zeti menegaskan bahawa ‘untuk mengatakan ia bukan tempoh yang mencabar merupakan satu penafian, dan sebahagian besarnya adalah di luar kawalan kita. Hakikat bahawa dolar AS mengukuh berbanding 120 mata wang lain menjelaskannya.”

Beliau berkata rakyat Malaysia wajar berusaha mengurus diri semasa tempoh yang mencabar ini.

“Rekod baik kita menunjukkan bahawa setiap kali kita berhadapan masalah, setiap kali kita kembali bangkit. Sudah lebih daripada sekali. Kita bangkit dan bangkit dengan cepat,” katanya.

Zeti berkata mereka yang menabung boleh memanfaatkan tempoh yang mencabar ini, namun mereka juga wajar mengurus diri dengan berhati-hati.

“Mereka mesti menyesuaikan kehidupan dengan kemampuan dan mengkaji semua opsyen yang ada. Perniagaan juga perlu melakukan yang sama,” katanya.

Andai berhadapan dengan masalah kewangan, Zeti berkata perkhidmatan nasihat boleh membantu mereka menstrukturkan semula hutang.

“Mereka perlu menyedari adanya program untuk membantu mereka. Ada program di tempat kerja untuk dilatih semula, dan bantuan disediakan untuk mereka yang mempunyai anak yang belajar di luar negara, mereka perlu mengkaji kesemua opsyen yang ada,” katanya.

Sehingga 11.50 pagi, ringgit didagangkan pada 4.2540/2630 berbanding dolar AS.

ARTIKEL YANG SAMA