Pepe terlepas sesi latihan

Pepe terlepas sesi latihan

MARCOUSSIS, Perancis, 5 Julai – Pertahanan tengah, Pepe terlepas sesi latihan Portugal, hari ini menjelang pertembungan suku akhir Euro 2016 dengan Wales disebabkan kesakitan otot, umum Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF).

Tindakan tidak membenarkan pemain Real Madrid itu untuk menjalani latihan disebabkan langkah berjaga-jaga yang diambil menjelang aksi di Lyon, awal pagi Khamis ini, kata badan induk itu.

Pemain berusia 33 tahun itu satu-satunya pemain yang terlepas sesi latihan skuad bimbingan Fernando Santos itu dengan pemain tengah, Andre Gomes dan pertahanan kiri, Raphael Guerreiro kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan.

“Saya amat berpuas hati dengan cara kesemua pemain saya mainkan, namun saya perlu mengatakan yang Pepe mengharungi perlawanan yang besar,” kata Santos ketika mengulas prestasi Pepe pada aksi suku akhir menentang Poland.

Pepe meregangkan badan semasa menjalani latihan di Marcoussis, kelmarin. - AP
Pepe meregangkan badan semasa menjalani latihan di Marcoussis, kelmarin. – AP

Gomes dalam pada itu mengakui dia sudah pulih sepenuhnya daripada masalah otot yang menghalangnya daripada beraksi menentang Poland.

“Kesemua pemain yang bermain bertemu Poland melakukan yang terbaik dan bermain dengan amat baik,” kata Gomes. “Saya berharap saya boleh bergantung kepada keyakinan jurulatih pada perlawanan berikutnya.”

Portugal yang diketuai Pemain Terbaik Dunia tiga kali, Cristiano Ronaldo berharap untuk melangkah ke final kejohanan utama buat kali kedua selepas kekalahan 1-0 pada aksi Euro 2004 di laman sendiri kepada Greece.

Satu-satunya pemain yang tidak dapat beraksi ketika menentang Wales ialah pemain tengah, William Carvalho yang berdepan penggantungan dengan tempatnya dijangka akan digantikan Danilo Perreira. – AFP