Peperiksaan SMK Balung bermula seperti biasa

Peperiksaan SMK Balung bermula seperti biasa

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau, Sabah yang terlibat dengan insiden pendaratan cemas helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa lepas akan dijalankan seperti biasa Isnin ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata sekolah berkenaan telah ditutup selama empat hari supaya kerja-kerja pembersihan dan proses mengeluarkan serpihan helikopter dapat dijalankan dengan lancar.

“Semalam ada permintaan tambahan dua hari (Khamis dan Jumaat) untuk sekolah ditutup dan esok pula hujung minggu, jadi cukup masa untuk proses pembersihan selesai sebelum peperiksaan PT3 bermula Isnin ini.

Kelihatan kelas Kemahiran Hidup, tempat helikopter Nuri terhempas, dibersihkan setelah bangkai helikopter berkenaan dipindahkan, kelmarin. - Bernama
Kelihatan kelas Kemahiran Hidup, tempat helikopter Nuri terhempas, dibersihkan setelah bangkai helikopter berkenaan dipindahkan, kelmarin. – Bernama

“Malah saya difahamkan juga bahagian kompenan utama helikopter telah dikeluarkan hanya tinggal serpihan-serpihan kecil sahaja,” katanya kepada media selepas majlis penutup Persidangan Antarabangsa Guru Besar Sekolah Berprestasi Tinggi kali ke-3 di sini, hari ini. SMK Balung mempunyai 317 pelajar tingkatan tiga yang akan menduduki PT3 Isnin ini.

Ditanya mengenai dua pelajar sekolah itu yang mengalami trauma dalam insiden itu, Kamalanathan berkata khidmat kaunseling sedang diberikan kepada mangsa terlibat daripada pegawai kaunselor Jabatan Pendidikan Negeri.

Dalam kejadian pada 9:05 pagi Selasa itu, sebuah helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di bumbung dewan terbuka di SMK Balung menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM, lapan pelajar dan pekerja pembersihan SMK Balung. – Bernama