Peraduan cipta poster keselamatan

Peraduan cipta poster keselamatan

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 3 Mac – Sekolah Panaga Seria (Panaga School Seria) kini sedang menganjurkan peraduan mencipta poster dan logo keselamatan jalan raya yang dibukakan kepada sekolah-sekolah rendah dan sekolah-sekolah menengah di negara ini.

Peraduan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori sekolah rendah berumur lima hingga 11 tahun dan kategori sekolah menengah berumur 12 hingga 18 tahun.

Guru IT sekolah itu, Awang Neil Lynch menjelaskan, untuk kategori sekolah rendah, peserta boleh menghantar penyertaan dalam bentuk media tradisional seperti pen dan kertas atau dakwat/cat, atau pun menggunakan perisian reka bentuk grafik dengan format yang diutamakan seperti .jpg atau .png,

Manakala itu, untuk kategori sekolah menengah pula logo dan poster perlu dihasilkan menggunakan perisian grafik, dan format yang diutamakan adalah .jpg atau .png dalam resolusi tinggi, tambahnya.

Para pemenang dalam setiap kategori akan menerima hadiah baucar membeli-belah bernilai $150 yang akan disampaikan pada Hari Keselamatan BSP pada 13 April 2016. Manakala itu, tiga naib juara akan menerima $50 setiap seorang.

Menurut Awang Neil lagi, logo atau poster yang direka harus bertemakan beberapa butir-butiran yang disediakan oleh pihak penganjur iaitu memakai tali pinggang keledar, menghormati kod lebuh raya, mematuhi had laju, memeriksa sehingga tayar, melindungi kanak-kanak, memberi perhatian, berhenti apabila letih, memakai topi keledar serta menjadi sopan dan bertimbang rasa di jalan raya.

Setiap penyertaan mestilah berserta umur, nama penuh, nama sekolah dan butiran kenalan dalam e-mel kepada roadsafe@panagaschool.com

Semua penyertaan mestilah dihantar sebelum tarikh tutup pada 15 Mac 2016 dan pihak penganjur berharap akan dapat memaklumkan para pemenangnya sebelum 30 Mac nanti.

Peraduan ini ditaja dan disokong oleh Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) Sdn Bhd.