Peraduan Khutbah mantapkan jati diri belia

Peraduan Khutbah mantapkan jati diri belia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Awang Mohd Wadood bin Haji Seruji yang mewakili Zon 3A muncul johan Peraduan Membaca Teks Khutbah Jumaat Belia Masjid Peringkat Senegara 2015 yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini sempena Cuti Sekolah Penggal Terakhir.

Tempat kedua dimenangi oleh wakil dari Zon 3B, Awang Khairul Musawir bin Haji Daud diikuti oleh tempat ketiga iaitu wakil dari Zon 1B, Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani.

Mereka menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Seramai 10 peserta mewakili daerah dan zon berentap pada pertandingan anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar itu.

Awang Roslan ketika menyampaikan hadiah juara kepada Awang Mohd Wadood.
Awang Roslan ketika menyampaikan hadiah juara kepada Awang Mohd Wadood.
Awang Khairul Musawir pemenang kedua menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
Awang Khairul Musawir pemenang kedua menerima hadiah daripada tetamu kehormat.

Peraduan tersebut merupakan peraduan di antara belia-belia masjid yang menjadi wakil bagi setiap daerah masing-masing dan di Daerah Brunei dan Muara adalah mengikut setiap zon.

Acara telah dimulakan selepas selesai sahaja sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dengan bacaan Khutbah Jumaat telah dibacakan oleh wakil-wakil peserta dari zon dan daerah masing-masing. Pertandingan dihentikan sementara bagi menunaikan sembahyang Fardu Isyak berjemaah, dan disambung semula selepas itu.

Pertandingan tersebut dinilai dari tiga sudut iaitu penampilan dan gaya persembahan, kefasihan dan kelancaran serta intonasi dan suara.

Peraduan berkenaan antara lain bertujuan mengisikan cuti persekolahan dengan mengimarahkan masjid, mengeratkan silaturahim antara belia-belia masjid senegara.

Selain itu, ia juga dihasratkan agar kumpulan belia-belia menjadi satu kumpulan yang akan membawa masjid-masjid ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan pada masa akan datang serta bagi memantapkan jati diri dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai belia yang dikehendaki masyarakat dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA