Peraduan Musabaqah Tilawah Al-Quran sempena Hari Antidadah

Peraduan Musabaqah Tilawah Al-Quran sempena Hari Antidadah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI) akan mengadakan peraduan Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Arab dan Agama Senegara, sempena dengan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram yang disambut setiap 26 Jun.

Penolong Pengarah cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah, Pengiran Hajah Masnah binti Pengiran Haji Damit berkata, peraduan berkenaan selaras dengan tema kebangsaan tahun ini iaitu ‘Al-Quran Benteng Ancaman Dadah’.

“Tema keagamaan dipilih tahun ini memandangkan 26 Jun jatuh pada bulan Ramadan, bulan mulia dan penuh keberkatan di mana kitab Al-Quran telah diturunkan sebagai pedoman dan pegangan umat Islam.

“Amalan membaca Al-Quran adalah benteng utama yang akan menuntut umat Islam ke arah kesempurnaan hidup dengan mendapat rahmat dan syafaat dai Allah S.W.T,” katanya pada satu sidang media di Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah, Biro Kawalan Narkotik, Jalan Tungku, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Narkotik I, Dayang Raimawati binti Haji Badarusin, Ketua Pegawai Narkotik II, Dayangku Nurqalbi binti Pengiran Haji Soffian dan Ketua Pegawai Narkotik I, Awang Mohamed Fairuz bin Haji Sulong.

Pengiran Hajah Masnah bersama ahli panel yang lain semasa sidang media kelmarin.
Pengiran Hajah Masnah bersama ahli panel yang lain semasa sidang media kelmarin.

Menurut Pengiran Hajah Masnah, peraduan Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah-sekolah Arab dan Agama Senegara merupakan acara kemuncak sambutan di mana ia akan diadakan pada bulan Ogos nanti dan para peserta terdiri daripada para penuntut sekolah arab Tahun 7, 8 dan 9 serta penuntut sekolah agama Tahun 5 dan 6.

Aktiviti ini dipilih untuk merealisasikan nilai murni kepada generasi belia Islam yang menjadi benteng terhadap anasir-anasir negatif dan pada masa yang sama untuk membantu mencegah gejala sosial remaja di negara ini selain menjalin dan mengeratkan jaringan kerjasama antara BKN dan JPI.

Melalui aktiviti ini, BKN berharap golongan muda akan mendapat petunjuk, syafaat dan rahmat Allah S.W.T sebagai benteng dan pencegah daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat, termasuk penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Narkotik II, Mohd Wendy bin Haji Awang Abdul Razak pula berkata, matlamat utama sambutan ini ialah untuk memberikan peringatan bahawa dadah masih menjadi ancaman utama kepada negara-negara di seluruh dunia.

Tema antarabangsa sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram tahun ini ialah ‘Listen First’ yang memfokuskan kepada kanak-kanak dan belia sebagai langkah pertama untuk membantu mereka membesar dengan sihat dan selamat daripada gejala negatif.

Menurut Awang Mohd Wendy, peraduan ini dikategorikan kepada dua iaitu kategori bagi sekolah arab Tahun 7, 8 dan 9 dan kategori sekolah agama Tahun 5 dan 6, di mana setiap sekolah mencalonkan empat orang peserta qari dan qariah bagi setiap kategori.

Peraduan yang disertai 251 peserta ini akan diadakan dua peringkat iaitu saringan secara tertutup bagi pemilihan peringkat akhir dan peringkat akhir.

Saringan awal secara tutup bagi pemilihan peringkat akhir akan berlangsung pada 17 Julai sehingga 30 Julai ini dan peringkat akhir akan diadakan pada awal bulan Ogos.

ARTIKEL YANG SAMA