Peraduan reka corak bas awam dibuka

Peraduan reka corak bas awam dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Sebagai salah satu inisiatifnya dalam projek transformasi sistem pengangkutan awam di negara ini, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan mempelawa orang ramai yang berminat untuk ikut serta dalam peraduan mencipta corak dan warna bas awam yang lebih bersesuaian.

Peraduan ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah $1,500 bagi pemenang pertama, $1,000 di tempat kedua dan $500 di tempat ketiga.

JPD dalam kenyataannya telah menggariskan syarat-syarat peraduan yang dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam; ciptaan corak dan warna hendaklah asli dan belum pernah dipertandingkan; peserta dibenarkan menghantar seberapa banyak penyertaan dengan menggunakan borang penyertaan rasmi; dan huraian dan pengertian corak serta warna hendaklah disertakan secara berasingan.

Syarat-syarat teknikal pula, corak hendaklah mengandungi elemen-elemen wajib iaitu ‘simple’ dan ‘contemporary’, ciri-ciri keBruneian adalah satu keutamaan dan angka sebagai contoh ’08’ dalam tulisan rumi.

Setiap corak hendaklah menggunakan tidak lebih daripada empat warna (tidak termasuk warna hitam dan putih), dan hendaklah dicetak dengan menggunakan kertas ukuran A3 (corak hendaklah nampak dan jelas).

Orang ramai yang berminat, borang penyertaan boleh didapati di Kaunter Penyambut Tetamu, Ibu Pejabat, JPD, Jalan Gadong.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Haji Joharry bin Haji Abdul Karim di talian 8770352 dan Awang Muhammad Fauzi bin Kamis di talian 8763129.

ARTIKEL YANG SAMA